Menulis menggunakan tangan kiri mungkin dilihat aneh kerana lain daripada yang lain. SHUHADA MANSOR dedahkan kelebihan 'si kidal' yang mungkin dalam kalangan mereka sendiri tidak tahu ada keistimewaan tersembunyi di sebaliknya.

Adakah anda tergolong dalam kumpulan individu yang lebih gemar menggunakan tangan kiri untuk melakukan rutin seharian? Jika ya, jelaslah anda tergolong antara kelompok individu kidal.

Kidal, atau bahasa saintifiknya 'sinistrality' bermaksud seseorang individu yang lebih suka menggunakan tangan kiri daripada tangan kanan. Melakukan rutin harian terutamanya menulis menggunakan tangan kiri menjelaskan perlakuan itu berbeza daripada biasa.

10 PERATUS PENDUDUK DUNIA KIDAL

Menurut kenyataan National Geographic berkaitan isu ini menjelaskan jumlah individu yang lebih cenderung menggunakan tangan kiri untuk melakukan berbagai tugasan ini dikatakan 10 peratus daripada penduduk dunia. Ia bermaksud 10 peratus daripada 6.7 billion populasi di dunia hari ini.

Dilaporkan, individu kidal memiliki kemungkinan lebih besar untuk mejadi genius. Menurut statistik, lebih 20 peratus dari jumlah anggota organisasi MENSA, sebuah organisasi untuk manusia dengan IQ tertinggi di dunia dilaporkan kidal. Selain itu, turut dilaporkan empat dari lima pereka bentuk komputer Mac adalah kidal. Bukan itu saja, hari meraikan golongan ini turut diwujudkan pada 13 Ogos setiap tahun yang diberi nama 'Left Handers Days'.

LEBIH CEPAT EMOSI

Kajian dari Universiti Abertay Scotland menjelaskan orang kidal cenderung lebih bersetuju dengan penyataan seperti, "Saya khuatir membuat kesalahan" ataupun "Kritikan anda membuatkan saya sakit hati". Penyelidik, Dr Lynn Wright yang menjalani kajian itu di Dundee, Scotland percaya fenomena ini disebabkan adanya perbezaan bahagian otak antara orang kidal dan orang tangan kanan.

"Orang kidal lebih cepat bimbang berbanding mereka yang menggunakan tangan kanan iaitu lebih cepat bergerak. Bagi individu istimewa ini, otak kanan mereka lebih dominan dan bahagian inilah yang mengendalikan aspek negatif dam emosi,"katanya.

KEHEBATAN SI KIDAL

Mungkin bagi individu kidal, anda pernah tertanya kenapa kebanyakan orang tidak kidal? Atau kenapa wujudnya kidal? Menurut pakar psikologi dan saintis percaya bahawa individu kidal cenderung mewarisi perilaku ini daripada salah silah keluarga ataupun genetik.

Pada 2007, kumpulan saintis di United Kingdom menemui gen berkaitan kidal. Bagaimanapun, isu ini terlalu kompleks hinggakan penyelidik menjelaskan mereka mempunyai kesimpulan kukuh mengenainya.

Jangan rasa diri berbeza, tahukah anda terdapat beberapa tokoh terkenal juga bersifat kidal? Antaranya tokoh keagamaan, Mahatma Ghandi, saintis terkenal Albert Einstein, ahli falsafah Aristotle dan presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Malah, The Left Handers Club, sebuah organisasi orang-orang kidal tidak pernah menganggap bahawa kidal itu adalah sebuah kelainan, tapi sebaliknya menganggap kidal adalah satu keunikan.

APA KATA SI KIDAL?

Pelajar jurusan linguistik di Universiti Kebangsaaan Malaysia, Nur Fatihah Amran, 23 berkata sebagai golongan minoriti, dia terpaksa berhadapan dengan beberapa kesukaran menjalani rutin harian yang mungkin orang biasa tidak pernah terfikir.

"Mungkin hal seharian nampak biasa bagi orang normal, tapi bagi individu kidal seperti saya ada kesulitan kena hadapi. Contohnya apabila nak menggunakan kamera. Memang mencabar kerana dicipta untuk individu normal dengan secara fungsi butang juga disusun di sebelah kanan, jadi kena biasakan supaya lama kelamaan tak kekok lagi,"katanya.

Fatihah mengakui genetik itu diperoleh daripada ibunya yang juga seorang kidal. Baginya, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana bukan hanya dia seorang saja di dalam keluarga yang memiliki perilaku itu.

"Awalnya saya tak pernah terfikir ada cabarannya. Tapi, makin saya membesar buatkan saya sedar banyak perkara saya kena tangani dengan kedua-dua belah tangan. Sekarang, saya boleh menulis dengan tangan kiri dan kanan, menaip, melukis dan sebagainya. Kalau dulu rasa malu dengan kawan, sekarang rasa bangga kerana saya boleh buat kerja lebih cepat daripada orang lain," katanya.

Penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Jep,24, berkata dia tidak pernah merasakan kidal satu cabaran malah sentiasa menganggap dirinya istimewa.

"Kalau dulu masa zaman sekolah mungkin saya diejek kerana lain daripada kawan-kawan tapi bila dah besar, dah boleh lakukan kerja dengan kedua-dua belah tangan, rasa diri istimewa. Malah ada yang mintak saya ajar untuk tulis dengan tangan kiri. Memang lucu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:03 AM