POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Harun Yahya
POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Harun Yahya
Oleh Harun Yahya


Sibu: Sebuah keluarga cemas apabila individu tidak dikenali melepaskan beberapa das tembakan dipercayai menggunakan senapang patah ke arah kediaman mereka di Bukit Lima Timur , di sini, 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi berkata, pemilik rumah membuat laporan di Balai Polis Sentral Sibu 8.30 pagi tadi sebelum pihaknya menjalankan pemeriksaan dan penyiasatan.

Menurutnya, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah jiran mangsa bagi mencari petunjuk berhubung kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati tembakan dipercayai dilepaskan dari jarak kurang 13 meter dari rumah mangsa menyebabkan cermin tingkap pecah terkena peluru tabur. Tiada kecederaan dilaporkan.

"Kami masih tiada petunjuk lain setakat ini dan berharap rakaman CCTV rumah jiran mangsa dapat membantu siasatan," katanya.

Anak pemilik rumah yang hanya dikenali sebagai Lau berkata, mereka sekeluarga terkejut mendengar bunyi letupan kuat dan ibunya sempat melihat individu tidak dikenali menaiki motosikal melarikan diri selepas dipercayai melepaskan tembakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 2:09 PM