DUA lagu Kumpulan Sai Naga Urumi Melam di TikTok tambat hati rakyat Malaysia.
DUA lagu Kumpulan Sai Naga Urumi Melam di TikTok tambat hati rakyat Malaysia.
BERNAMA

Putrajaya: Sekadar mahu meredakan 'ketegangan perkauman' di media sosial, sekumpulan anak muda dari Kumpulan Sai Naga Urumi Melam tampil mencipta kelainan dengan mendendangkan lagu Suasana Hari Raya dan Seloka Hari Raya menerusi rentak gendang 'urumi'.

Tidak disangka percubaan pertama yang dihasilkan menerusi dua video TikTok itu berjaya menambat hati rakyat Malaysia terutama dalam kalangan masyarakat Melayu yang baru sahaja menyambut Aidilfitri sehinggakan ada yang mahu mendapatkan khidmat mereka bagi majlis rumah terbuka.

Bercakap kepada Bernama, pemain thavil (gendang) dalam video itu, M Logeswaran, 22, berkata, idea menghasilkan video itu timbul selepas melihat isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi raja (3R) semakin menjadi-jadi di laman sosial.

"Jadi Kumpulan Sai Naga Urumi Melam fikir, kita kena buat sesuatu sebab bosan tengok berita provokatif hari-hari, dengan hari raya dah dekat, kami fikir muzik boleh hubungkan kita semua," katanya.

Urumi atau urumi melam adalah satu seni pergendangan India yang menggunakan lebih daripada satu gendang dan membabitkan sekurang-kurangnya lima orang atau lebih untuk menghasilkan kombinasi dan alunan muzik yang kuat.

Ia biasanya dipersembahkan di kuil sebagai muzik sampingan bagi upacara keagamaan, adat perkahwinan atau meraikan sesuatu sambutan tradisional dan antara peralatan yang digunakan ialah thavil, urumi, pambai dan thalam.

Logeswaran yang berasal dari Kajang berkata, biarpun video terbabit hanya berdurasi lebih seminit, namun proses rakamannya amat panjang sehinggakan memakan masa lebih lima jam.

"Kami mula rakaman jam 2 pagi, tak ingat berapa kali kami mencuba untuk mendapatkan hasilnya, ada kala penyanyinya, N Lachman terlepas lirik, ada yang terlepas rentak muzik, ada bunyi deruman kereta yang memerlukan kami ulang proses rakaman, tapi hasilnya kini berbaloi," katanya.

Sehingga kini, dua video terbabit tular di pelbagai platform media sosial membabitkan lebih 30,000 perkongsian dan menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat berbilang kaum, tidak ketinggalan ramai yang meninggalkan komen membina dan positif buat usaha anak-anak muda berkenaan.

Pengguna Facebook, Norma Ab Talib berkata, "Terima kasih adik-adik semua. Usaha yang baik untuk memupuk semangat perpaduan, sangat menghargainya. Kita semua rakyat Malaysia".

Seorang pengguna TikTok, mohammadfazli282 berkata, "Politik biarkan dengan politik, kita semua rakyat Malaysia, tak kira apa bangsa dan agama, kita tetap satu Malaysia, saling hormat menghormati, terbaik bro!".

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:03 AM