ANTARA tahanan yang berjaya ditangkap semula.
ANTARA tahanan yang berjaya ditangkap semula.
Rosman Shamsudin


Tapah: Pemeriksaan akan dibuat terhadap rumah kongsi dan ladang kelapa sawit di sekitar daerah ini dalam usaha mengesan baki 30 tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor, di sini, pada 1 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, rumah kongsi yang dihuni oleh warga asing kini menjadi tumpuan pihak polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurutnya, ini berikutan majoriti yang tinggal di ladang kelapa sawit adalah pekerja warga asing sekali gus memungkinkan tahanan yang lolos bersembunyi di kawasan berkenaan.

"Pihak polis dan imigresen kini menyasarkan rumah kongsi yang dihuni oleh warga asing dan kawasan ladang kelapa sawit berskala besar di sekitar Bidor dan Tapah.

"Ada kemungkinan warga asing atau pekerja asing terbabit melindungi baki tahanan yang lolos dari depot tempoh hari, " katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Katanya, setakat ini tangkapan tahanan yang lolos kekal seramai 99 orang, manakala baki 30 tahanan lagi masih bebas.

Pada 1 Februari lalu, seramai 131 tahanan terdiri dari etnik Rohingya, warga Myanmar dan Bangladesh melarikan dari Depot Imigresen Sementara Bidor dalam kejadian pada 9.50 malam.

Manakala, dua daripada mereka meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 2:49 PM