Penduduk mengharungi banjir susulan fenomena air pasang di Taman Nira. FOTO Alias Abd Rani
Penduduk mengharungi banjir susulan fenomena air pasang di Taman Nira. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Inilah dugaan pertama tahun ini. Air pasang kali ini lebih besar, malah ada beberapa buah rumah dinaiki hampir air paras lutut," itu reaksi seorang penduduk, Mohd Hidayat Johari, 40, susulan fenomena air pasang melanda beberapa kawasan di daerah ini, hari ini.

Fenomena air pasang setinggi 3.2 meter berlaku pada hari ini menyebabkan lebih 20 buah rumah di Taman Nira, Taman Batu Pahat serta beberapa kawasan pesisir pantai dinaiki air susulan limpahan Sungai Batu Pahat.

Menurut Mohd Hidayat, fenomena ini bermula pada jam 11 pagi menyebabkan beberapa rumah termasuk rumahnya di Taman Nira dimasuki air.

"Walaupun saya dan sebahagian besar penduduk di sini membina tembok, namun ia bukan jalan penyelesaian terbaik untuk elak air memasuki rumah.

"Hari ini air pasang paras 3.2 meter dan kami terpaksa hadapinya. Tahun lalu, fenomena ini tidak berlaku dan kali terakhir adalah pada 2022.

"Waktu itu, kami berhadapan lima kali air pasang besar menyebabkan sebahagian besar barangan dalam rumah terpaksa dibuang kerana rosak akibat ditenggelami air laut," katanya ketika ditemui.

Katanya, sehingga kini, penduduk di taman ini terpaksa melaluinya kerana tiada jaminan diberikan pihak berkuasa untuk menangani perkara ini.

"Kami terpaksa periksa setiap masa mengenai jadual air pasang bagi memudahkan persiapan dibuat," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Seorang lagi penduduk, Mahmud Ibrahim, 76, berkata rumahnya antara yang paling teruk dimasuki air.

Namun katanya, kali ini dia sudah terbiasa dengan fenomena ini dengan membuat persiapan awal termasuk memindahkan barangan dalam rumah.

"Kalau dulu, lagi teruk habis semua perabot dan peralatan elektrik rosak. Jadi, kita di sini sudah bersedia untuk menghadapinya," katanya yang juga bekas pesara swasta.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa penduduk di sekitar bandar ini sudah membuat persiapan awal untuk mengalihkan kenderaan serta barangan lain ke tempat lebih selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 2:34 PM