GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

SPRM dalam kenyataan hari ini, berkata, siasatan sudah dimulakan sejak Februari lalu.

Menurut kenyataan, dakwaan Tun Daim bahawa siasatan kes beliau menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum adalah tidak tepat.

Katanya, satu notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM2009 (Akta 694) diserahkan kepada beliau supaya mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis, 7 Jun lalu.

"Tun Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai, 10 Ogos, 11 September, 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

"Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.

"Tun Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Tun Daim dilaporkan menafikan beliau dan keluarganya terbabit dalam rasuah atau sebarang salah laku, sebaliknya mendakwa siasatan terhadapnya bermotifkan politik.

Beliau dilaporkan berkata, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukannya walaupun sudah berkali-kali mengajukan perkara itu kepada SPRM.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, berdasarkan prinsip undang-undang 'anggapan tidak bersalah' (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya dan mempunyai peluang membersihkan nama sekiranya kes dibicarakan di mahkamah.

"Perlu ditegaskan bahawa SPRM adalah sebuah suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas," katanya.

Juasteru, SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan.

Media sebelum ini melaporkan bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang dikatakan milik keluarga Daim, disita SPRM.

Notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat itu bertarikh 18 Disember lalu disiarkan melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.

Berita berkaitan:

'Azam sendiri enggan beritahu apa kesalahan saya' - Tun Daim

Menara Ilham disita, biar SPRM jalankan tugas - PM

Terkejut dapat tahu Menara Ilham disita - pekerja

Menara Ilham disita dipercayai kes seleweng dana negara babit tokoh korporat, bekas menteri kanan

SPRM sita Menara Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 12:03 PM