GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Faris Fuad

Putrajaya: Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini, menangguhkan pendengaran rayuan enam lelaki yang dihukum mati selepas disabitkan bersalah membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais ke bulan depan.

Lelaki terbabit ialah bekas pakar patoloji Kolonel Dr R Kunaseegaran, 60, pemberi pinjaman wang S Ravi Chandaran, 52, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 31, A K Thinesh Kumar, 30, M Vishwanath, 33, serta S Nimalan, 30.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam M Manoharan memaklumkan belum meneliti rekod rayuan kerana baru dilantik mewakili Dinishwaran.

"Rayuan ditangguh ke 4, 7 dan 14 Disember ini, tiada siapa dibenarkan untuk membuat penangguhan (pendengaran) lagi.

"Ini tarikh pendengaran terakhir, tiga hari untuk hujahan," kata Hadhariah.

Terdahulu, Manoharan memaklumkan beliau dilantik sebagai peguam bela Dinishwaran pada 31 Oktober lalu iaitu seminggu sebelum pendengaran rayuan.

"Saya memohon jasa baik mahkamah untuk membenarkan penangguhan singkat (pendengaran rayuan).

"Saya belum meneliti rekod rayuan dan perlukan masa (untuk bersedia dengan hujahan)," katanya.

Permohonan penangguhan rayuan tidak dibantah peguam perayu lain dan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

Pada 10 Julai 2020, semua lelaki berkenaan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais.

Mereka didakwa membunuh Kevin Morais di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015.

Mendiang dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara, di sini, dengan menaiki Proton Perdana.

Mayatnya ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 1:04 PM