PASUKAN carilamat berusaha mencari seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot yang dinaiki di Sungai Perak ketika pergi memancing bersama dua rakannya dalam kejadian di Kampung Sungai Jarau, Kati. FOTO Ihsan JBPM Perak.
PASUKAN carilamat berusaha mencari seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot yang dinaiki di Sungai Perak ketika pergi memancing bersama dua rakannya dalam kejadian di Kampung Sungai Jarau, Kati. FOTO Ihsan JBPM Perak.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Lelaki hilang apabila hanyut selepas terjatuh daripada bot dinaiki di Sungai Perak ketika memancing bersama dua rakannya di Kampung Sungai Jarau, Kati, di sini, malam semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Shamsul Razman Abd Halim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa berusia 33 tahun pada 9.51 malam.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa lelaki dikatakan lemas (hanyut) akibat terjatuh daripada bot semasa aktiviti memancing. Operasi pencarian diteruskan pada hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi yang bermula 8 pagi tadi membabitkan seramai 55 anggota meliputi bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam selain penggunaan 18 bot.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan dijalankan sepanjang satu kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Sementara itu, jurucakap APM Perak dalam kenyataan berasingan berkata, tiga lelaki termasuk mangsa menaiki sebuah bot untuk memancing di Sungai Perak di mana bot yang dinaiki mereka berlepas dari jeti Kampung Jarau.

Katanya, setibanya berhampiran Kampung Tahan, bot itu melanggar batu di tengah sungai yang mengakibatkan seorang daripada mereka terjatuh ke sungai dan hilang akibat dihanyutkan air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:44 PM