Shamsul Aiman bersama MPP USIM terus memantau dan memastikan haarga makanan di kampus tidak membebankan pelajar.
Shamsul Aiman bersama MPP USIM terus memantau dan memastikan haarga makanan di kampus tidak membebankan pelajar.
Suharmin Yusuf dan Nur Elysa Amirah Suhaimi

Kuala Lumpur: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Pengajian Tinggi (IPT) memantau dan memastikan harga makanan di kampus di bawah kawalan serta tidak membebankan pelajar.

Yang Dipertua MPP Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Shamsul Aiman Mua'mar Shamsul Bahrin, 23, berkata, walaupun ada beberapa aduan mengenai kenaikan harga makanan, pelajar USIM masih boleh menerima seiring dengan proses penambahbaikan ekonomi semasa.

"Kami juga faham mungkin ada beberapa kenaikan harga yang dikenakan memandangkan negara juga sedang dalam proses pemulihan ekonomi.

"Namun, harga makanan yang dijual akan terus dipantau oleh pihak Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan MPP USIM," katanya.

Shamsul Aiman berkata, MPP USIM menyediakan beberapa inisiatif untuk menjimatkan kos perbelanjaan makanan pelajarnya.

"Kami menjadikan Perpustakaan USIM untuk memberi sarapan percuma dan Pusat Islam untuk memberi makanan tengah hari percuma.

"Kami turut menjalankan program Musa'adah4Student dan beberapa agenda lain seperti sumbang makanan keperluan asas kepada pelajar B40 demi kelangsungan hidup," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nur Nazirah Abdullah, 23, berkata, harga makanan di kampus khusus di Universiti Malaya kini dipantau supaya masih relevan dan berpatutan.

"Kami pantau kos makanan di dalam kampus dan purata harga untuk nasi putih, lauk ayam dan sayur berharga RM 7," katanya.

Menurut Nur Nazirah, pihaknya telah menggerakkan beberapa usaha tambahan untuk meringankan beban pelajar berpendapatan rendah.

"Kami menyediakan makan malam percuma sebanyak empat kali dalam seminggu untuk 100 orang pelajar, selain penyediaan bank makanan di setiap fakulti," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 4:58 PM