GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah kuil di Alma, di sini.

Insiden berlaku pada jam 12.05 tengah malam Ahad ketika orang ramai melakukan upacara keagamaan dan video tular di media sosial pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata tiga lelaki berusia 21 hingga 25 tahun itu berjaya ditahan polis.

"Sekumpulan lelaki ini bergaduh antara satu sama lain dengan memukul menggunakan tangan dan kerusi.

"Pada ketika itu, terdapat orang ramai yang berada di kuil terbabit bagi melakukan upacara keagamaan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Jelasnya, dua video berdurasi 14 dan 27 saat yang dimuatnaik seorang pemilik akaun Twitter berhubung insiden itu kemudian tular sekitar jam 10.15 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, tiga suspek yang ditahan kini direman selama empat hari hingga Rabu ini.

"Punca pergaduhan itu masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 10:37 PM