Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Demi melancarkan proses mengundi, seorang pemandu arah pusat mengundi, Syuwardy Ismail pinjamkan dua kerusi roda milik ibu bapanya untuk digunakan di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok di sini, hari ini.

Syuwardy, 49, membawa kerusi roda berkenaan sebaik kedua-dua ibu bapanya selesai mengundi.

Ia adalah untuk kemudahan warga emas atau orang kurang upaya (OKU) yang datang melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, beberapa kerusi roda sudah disediakan tetapi dia menawarkan untuk memberi pinjam memandangkan ramai pengundi yang hadir ke pusat pengundian terbabit adalah dalam kalangan warga emas.

"Ibu bapa saya dengan rela hati menawarkan kerusi roda mereka untuk dipinjamkan pada hari mengundi.

"Mereka sendiri bersemangat keluar mengundi awal walaupun masing-masing perlu dibawa menggunakan kerusi roda.

"Alhamdulillah, ramai yang mendapat manfaat dengan adanya kerusi terbabit. Ia juga memudahkan kerja saya sebagai pemandu arah untuk membawa mereka ke bilik mengundi.

"Mereka tidak lagi perlu menunggu kerana kerusi roda mencukupi sekali gus melancarkan proses mengundi," katanya ketika ditemui di pusat mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok di SMK Gual Periok di sini, hari ini.

Menurutnya, kerusi roda berkenaan ditempatkan di pusat mengundi sehingga selesai tempoh mengundi susulan lebih ramai warga emas yang datang selepas waktu Zohor.

Sementara itu, bagi Naimah Seman, 68, dia berterima kasih kepada semua sukarelawan yang membantunya untuk mengundi memandangkan dia sendiri tidak mampu berjalan susulan diserang angin ahmar.

"Penyediaan kerusi roda yang dibantu oleh sukarelawan di sini memudahkan pergerakan saya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat pada PRN kali ini.

"Terima kasih kepada semua yang terbabit kerana bersungguh-sungguh membantu golongan kurang upaya serta warga emas seperti saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 3:07 PM
Syuwardy Ismail, 49, bersama kerusi roda milik ibu dan bapanya yang dipinjamkan untuk kegunaan pengundi di pusat mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok di SMK Gual Periok, di sini, hari ini.FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syuwardy Ismail, 49, bersama kerusi roda milik ibu dan bapanya yang dipinjamkan untuk kegunaan pengundi di pusat mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok di SMK Gual Periok, di sini, hari ini.FOTO SYAHERAH MUSTAFA