GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekerja lebih 12 jam sehari, namun upah sekadar RM2,000 sebulan adalah realiti yang kini dihadapi oleh sebahagian pekerja p-hailing, iaitu perkhidmatan penghantaran makanan di negara ini, khususnya di ibu kota.

Kata mereka, keadaan itu berlaku berikutan kadar upah dikurangkan daripada RM10 pada 2020 kepada RM5 sekarang bagi setiap perjalanan. Rungutan dan keluhan mereka pula dipandang sepi oleh syarikat pengendali perkhidmatan.

Peka dengan nasib pekerja sektor itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan mereka pada 22 Julai lepas. Hasilnya, beliau dijadualkan bermesyuarat dengan penyedia perkhidmatan p-hailing pada 8 Ogos ini, memberikan harapan kepada pekerja industri yang nasib mereka bakal berubah.

"Saya mula bekerja sebagai penghantar makanan pada 2020, dan ketika itu kadar upah memang tinggi hingga RM10 satu trip. Namun tahun lepas kadar itu dikurangkan kepada RM7, dan untuk tahun ini kami hanya dapat RM5," kongsi Dhafiq Othman, 29, kepada Bernama.

Menurut anak muda itu, pendapatannya kini jauh merosot berbanding tiga tahun lepas, sekali gus memberi tekanan hidup kepadanya memandangkan dia mempunyai dua anak yang masih kecil.

Berkelulusan diploma dalam bidang syariah, Dhafiq berkata, dia terpaksa bekerja dalam sektor itu kerana sukar mendapat pekerjaan yang stabil.

Peningkatan kos barangan dan perkhidmatan dewasa ini tambah membebankan pekerja sektor itu yang perlu memastikan kenderaan mereka disenggara dengan baik.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan 97.71 peratus daripada 6,657 pekerja p-hailing adalah belia yang berumur 15 hingga 30 tahun, manakala 2.29 peratus lagi adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Kajian dijalankan dari 1 Mac hingga 31 Dis 2022, mendapati 39.54 peratus daripada mereka mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia/Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional atau setaraf, diploma (23.4 peratus) dan ijazah sarjana muda (11.79 peratus).

Turut dinyatakan oleh DOSM dalam laporan itu ialah majoriti mereka menjadikan p-hailing sebagai sumber pendapatan utama (73.98 peratus) dan pekerjaan utama (70.35 peratus). Hanya 29.65 peratus menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan sampingan.

Harapan serupa turut dizahirkan oleh seorang lagi pekerja p-hailing, Izam Mohamad, 22.

Dia yang bekerja dalam sektor p-hailing sejak tahun lepas, menyifatkan kadar upah RM5 itu tidak adil kerana tidak mengambil kira jarak perjalanan dan masa yang diambil oleh seseorang penghantar untuk mengambil dan menghantar makanan yang dipesan.

"Tidak ada masalah untuk kadar upah RM5 bagi jarak dekat. Tetapi, kalau perjalanan yang jauh dan memakan masa lebih 20 minit, adalah tidak adil dibayar dengan jumlah yang sama sebab kos minyak dan penyelenggaraan kami tanggung sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 9:04 AM