Aizat Sharif


Arau: "Dua, tiga hari sebelum pemergian Sharipuddin, ibunya termenung dan tak lalu makan kerana teringat anaknya dan tidak sangkalah dia akan pergi."

Begitu kata Maznah Abdullah, 68, sepupu kepada Allahyarham Sharipuddin Shaari, 53, yang maut dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam.

Sharipuddin atau dikenali sebagai Din dalam kalangan keluarganya adalah pemandu kereta Nissan Almera yang menjadi salah seorang korban dalam kejadian itu.

Menurut Maznah, ibu saudaranya, Hatun Bakar, 80-an adan memberitahu jika mahu mengikuti anaknya pulang ke kediaman arwah di Sepang sekiranya Sharipuddin pulang ke kediaman ibu saudaranya itu di Kampung Rani Estate, di sini.

"Biasalah naluri seorang ibu memang dia mahu jenguklah anaknya kerana bukan senang Din mahu pulang ke sini (Arau), hanya dapat berbuat demikian sekiranya ada cuti seperti cuti sekolah.

"Memang Din sering balik ke Arau sekiranya ada cuti, malah kali terakhir kami semua berkumpul bersamanya ketika Aidilfitri lalu," katanya ketika ditemui di Kampung Rani Estate, di sini, hari ini.

Katanya, ibu saudaranya sering meluahkan kerinduan untuk bertemu Sharipuddin kepadanya apabila mereka berbual-bual setiap petang.

"Saya tanya kepada Ngah (panggilan kepada Hatun) hendak makan apa, namun dia hanya menjawab dia tidak mahu makan apa-apa tetapi teringatkan Sharipuddin sahaja.

"Ngah cakap pada mak cik yang jika dia dapat dengar suara Din pun sudah cukup bagi dia," katanya.

Maznah berkata, keluarganya memang tidak menyangka bahawa Sharipuddin turut menjadi mangsa dalam kejadian itu.

"Malah, saya diberitahu keluarganya juga belum lagi memberitahu kematian Din kerana tidak mahu mengejutkan ibu mereka disebabkan ibu mereka itu mempunyai masalah jantung.

"Jadi apa yang dibuat adalah membawa mak cik Hatun ke Kuala Lumpur sahaja tanpa memberitahu tujuan sebenar mereka," katanya.

Katanya, Sharipuddin meninggalkan Arau untuk menetap di Sepang selepas melihat lebih banyak peluang pekerjaan di Lembah Klang.

"Din bekas tentera dan sebelum berlaku pandemik Covid-19, dia banyak melakukan pelbagai pekerjaan seperti pengawal keselamatan di beberapa tempat di Perlis.

"Namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuhkan tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk membawa keluarganya berhijrah ke Lembah Klang kerana peluang pekerjaannya yang banyak," katanya.

Maznah menyifatkan sepupunya itu adalah seorang yang ringan tulang dan sering membantu ahli keluarga apabila diperlukan.

"Tambahan pula dia adalah anak tunggal lelaki daripada empat beradik, jadi memang dialah yang menjadi harapan keluarga.

"Kehilangannya memang dirasakan termasuk kami dan sesiapa pun tidak menyangka bahawa Din boleh berada dalam situasi itu," katanya.

Maznah menunjukkan gambar sepupunya, Sharipuddin Shaari di kediamannya di Kampung Rani Estate, Arau selepas sepupunya itu maut dalam tragedi kemalangan pesawat di Elmina, Shah Alam semalam. FOTO AIZAT SHARIF
Maznah menunjukkan gambar sepupunya, Sharipuddin Shaari di kediamannya di Kampung Rani Estate, Arau selepas sepupunya itu maut dalam tragedi kemalangan pesawat di Elmina, Shah Alam semalam. FOTO AIZAT SHARIF

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 2:43 PM