CALON PH, N.32 Seri Setia, Dr Fahmi Ngah (tigq dari kiri), N.33 Taman Medan, Ahmad Akhir dan Calon PH, N.34 Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran (kanan) bersama penyokongnya ke Pusat Penamaan Calon Dewan Sivik MBPJ bagi PRN Selangor. FOTO Rohanis Shukri
CALON PH, N.32 Seri Setia, Dr Fahmi Ngah (tigq dari kiri), N.33 Taman Medan, Ahmad Akhir dan Calon PH, N.34 Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran (kanan) bersama penyokongnya ke Pusat Penamaan Calon Dewan Sivik MBPJ bagi PRN Selangor. FOTO Rohanis Shukri
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Petaling Jaya: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran bakal mempertahankan kerusinya dalam pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.

Rajiv berkata, selepas dua penggal menyandang jawatan itu, beliau yakin peluangnya untuk terus berkhidmat di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan cerah namun tidak mengambil ringan cabaran daripada calon lain.

"Kita akan terus fokus kepada isu rakyat dan apa yang kami tawarkan kepada rakyat antaranya kita nak merapatkan jurang digital kerana sekarang banyak urusan dalam talian dan ramai warga emas yang tertinggal.

"Sepanjang 10 tahun berkhidmat saya terima lebih 6,000 isu dan aduan daripada rakyat membabitkan pelbagai isu seperti jalan raya, pokok, longkang, masalah jiran, dan banyak lagi.

"Moto saya sebagai wakil rakyat adalah pastikan saya senang dihubungi, kalau hubungi tak dapat, terus datang ke pejabat saya setiap Rabu, saya buka untuk orang ramai. Tak perlu temujanji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menghantar pencalonan di Dewan Sivik, di sini, hari ini, bersama dua lagi calon dari Pakatan Nasional (PN) dan MUDA.

PN meletakkan Nallan Dhanabalan sebagai calon manakala MUDA mempertaruhkan VKK Raja dengan harapan mampu menumbangkan dominasi PH-DAP di kawasan itu.

Sementara itu, pengundi di Taman Medan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PN dan PH.

PH mempertaruhkan Ahmad Akhir Pawan Chik yang juga bekas Ahli Majlis Zon 18 sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Taman Medan yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, PN meletakkan harapan ke atas Dr Afif Bahardin bagi menggalas cabaran untuk merampas kawasan itu yang juga kubu kuat PH-PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 4:32 PM