FAHMI ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. FOTO Bernama.
FAHMI ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. FOTO Bernama.
Mohd Nasaruddin Parzi dan Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur : Kerajaan sedaya upaya mengelak isu 3R (raja, agama dan bangsa) yang kini banyak disentuh orang politik dijadikan perkara yang boleh mencetuskan perpecahan antara kaum dan penganut agama.

Justeru itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata cadangan menubuhkan satu unit khas bagi meneliti kes-kes berkaitan isu 3R khususnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak bukan bertujuan menyekat kebebasan mana-mana pihak.

"Apa yang kita ingin elakkan adalah bibit-bibit perpecahan. Saya sudah bincang dengan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, juga Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia platform seperti Tik Tok yang kita ada pertemuan semalam.

"Ada keperluan mewujudkan satu unit yang selaras antara Bukit Aman, SKMM, KKD dan penyedia platform media sosial untuk kita pastikan sepanjang tempoh PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, tiada ada mana-mana pihak ambil kesempatan untuk meraih sokongan politik berkait isu 3R," katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Turut berangkat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Kira-kira 6,000 tetamu hadir pada majlis itu yang mewakili 110 kontinjen daripada agensi kerajaan dan swasta, dengan selebihnya orang awam.

Tema sambutan Maal Hjrah peringkat kebangsaan tahun ini 'Perpaduan Teras Malaysia MADANI'.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu berkenaan khususnya di platform media sosial.

"Jadi kita tak mahu bibit perpecahan (datang) dari sentimen perkauman yang sempit, menggunakan hujah yang boleh kita anggap keagamaan ekstrim atau memperolok mempermainkan atau menghina atau menghasut rakyat tak hormati institusi raja.

"Ada kebebasan bersuara tapi kita tak boleh bermain, beradu domba dengan isu berkaitan 3R. Kita ada undang-undang sedia ada. Untuk menjaga keamanan, pihak berkuasa sedia ambil tindakan wajar," katanya.

Menyentuh isu perbandingan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan Anwar pada 1998, Fahmi berkata ia berbeza dan tak wajar dibuat perbandingan sama sekali.

Katanya, kes mirip dengan penahanan Sanusi, mungkin terkait kes dua tahun lalu membabitkan seorang warga emas yang ditahan awal pagi kerana didakwa mengaibkan Menteri Besar Kedah itu menerusi satu video jelik berdurasi 9.19 minit yang tular di laman sosial Facebook.

"Bagi saya, itu perbandingan lebih tepat. Kita ambil ibrah dan pengajaran apa yang berlaku. Jangan kita sesekali menghina institusi raja-raja. Jangan kita sesekali melagakan rakyat dan raja. Ini adalah batas yang tidak boleh kita lepasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 12:21 PM