Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pegawai polis wanita yang dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' sudah ditahan kerja sejak minggu lalu bagi melengkapkan siasatan berhubung beberapa siri kekecohan yang tular di media sosial.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini sebanyak dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Rakaman percakapan juga sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

"Pada masa sama, enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman," katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Saifuddin berkata, polis mempunyai kaedah dan mekanisme yang jelas untuk menghadapi perilaku ketidaktenteraman persepsi.

"Jadi kita biarkan pasukan polis mengguna pakai undang-undang," katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan kejadian pegawai polis wanita yang mencetuskan kekecohan di parkir pusat beli-belah di Brickfields, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum itu pegawai berkenaan menerima kecaman netizen selepas dua klip video masing-masing berdurasi 24 dan 10 saat dimuat naik di media sosial Khamis lalu memaparkan dirinya mencemuh seorang lagi anggota berpangkat lans koperal dalam kejadian sekitar Gombak, Selangor.

Susulan itu, polis Selangor memanggil pegawai wanita terbabit untuk dirakam keterangan berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 1:28 PM