Nora Yaacob (kanan) menyantuni Amiruddin Azhar (tiga kanan) yang putus tangan kanan akibat kemalangan jalan raya pada 15 April lalu.. FOTO IHSAN PERKESO
Nora Yaacob (kanan) menyantuni Amiruddin Azhar (tiga kanan) yang putus tangan kanan akibat kemalangan jalan raya pada 15 April lalu.. FOTO IHSAN PERKESO
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan akan membekalkan tangan palsu (functional prosthesis) kepada pemandu bas yang putus tangan kanan akibat kemalangan jalan raya 15 April lalu menerusi Program Return to Work.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, Mohamad Amiruddin Azhar, 27, yang juga pemandu bas henti-henti Mutiara Rentas Desa (MRD) sudah dirujuk untuk menjalani sesi fisioterapi dan terapi cara kerja secara 'home visit' dari panel fisioterapi Perkeso iaitu D'Healthy – Physio, Speech & Occupational Therapy Centre bagi menguatkan kembali fungsi sebelum tangan palsu dibekalkan kepadanya.

Katanya, pada masa sama, pihaknya juga mengambil tindakan proaktif dengan membuat perbincangan awal dengan Konsortium E Mutiara Berhad merancang bersama majikan mengenai skop tugasan yang sesuai menerusi kaedah transisi pekerjaan selepas Amiruddin pulih dan mampu bekerja dalam keadaan sihat kelak.

"Selain itu, Amiruddin juga layak mendapat faedah pampasan dalam bentuk kewangan dan dibantu dalam aspek Pengurusan Hilang Upaya menerusi Program Return to Work dengan pembekalan tangan palsu.

"Pada masa sama, Amiruddin juga akan dibantu untuk membuat tuntutan Faedah Hilang Upaya Kekal setelah tamat tempoh cuti sakit.

"Dengan adanya bantuan-bantuan yang disalurkan oleh Perkeso Kelantan diharapkan ia dapat membantu proses pemulihan Amiruddin serta meringankan beban yang ditanggung sekaligus membantunya untuk kembali bekerja dengan cepat dan sihat," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu Perkeso menyerahkan baucar bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM3,608.89 kepada Amiruddin.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu bas ekspres putus tangan kanan dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu (Persimpangan Lampu Isyarat Bypass Sri Aman), di Pasir Puteh.

Sementara itu, Amiruddin berkata, dia berterima kasih kepada pihak Perkeso dan majikan yang prihatin dengan nasib yang menimpa dirinya.

Katanya, baru-baru ini dia baru saja diuji dengan kehilangan bapa tersayang sebelum menyambut Ramadan dan ujiannya tidak terhenti di situ apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Jerteh pada 15 April lalu sehingga menyebabkan dia putus tangan kanan.

"Namun, saya bersyukur apabila menerima panggilan daripada Perkeso Negeri Kelantan dan memaklumkan saya layak untuk menerima faedah Perkeso di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Program Return to Work," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 4:57 PM