Omar Ahmad

Johor Bahru: Seorang kontraktor perabot terlepas hukuman gantung apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, di sini daripada tiga pertuduhan mengedar dadah, lima tahun lalu.

Wong Shee Kay, 53, dibebaskan dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar berkata beliau membuat keputusan itu selepas menimbangkan keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan sepanjang perbicaraan dan menghalusi penghujahan bertulis atau lisan

Menurutnya, pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas dadah yang dijumpai dalam bonet kereta.

"Fakta tertuduh dikatakan mempunyai kunci kereta belum mencukupi bagi mengaitkan pemilikan dadah dengan tertuduh tanpa keterangan yang lainnya.

"Pendakwaan gagal memanggil pemilik kereta bagi menutup kelompangan yang ada berkaitan akses kepada kereta tersebut. Mahkamah ini berpendapat memandangkan pemilikan dadah gagal dibuktikan, anggapan pengedaran dadah di bawah Seksyen 37 (da) Akta Dadah berbahaya 1952 gagal diaktifkan," katanya.

Wong Shee Kay, bersama pegumnya Mohd Daud Ismail selepas dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO BERNAMA
Wong Shee Kay, bersama pegumnya Mohd Daud Ismail selepas dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO BERNAMA

Mengikut ketiga-tiga kertas pertuduhan, Wong didakwa di dalam sebuah kereta Perodua Kembara di hadapan sebuah kedai No 9, Jalan Permatang 8, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, mengedar dadah jenis heroin (84.44 gram), Monoacetymorphines (116.1 gram) dan Methamphetamine (1,707.77 gram) pada 31 Oktober 2018, lebih kurang jam 6.30 petang.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Seramai enam saksi pendakwaan dipanggil sepanjang prosiding kes itu berlangsung.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 3:49 PM