Nor Amalina Alias


Bachok: "Saya sedaya-upaya cuba tutup (penderitaan keluarga) tetapi terbuka juga selepas dapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," kata pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Syahril Saidi.

Syahril, 18, kini bergelar yatim piatu selepas ibu tercinta, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, menghembuskan nafas terakhir pada 8.20 malam tadi.

Remaja itu bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih terkejut dengan pemergian ibunya yang dipanggil Umi.

Dia hanya berkata reda dengan pemergian ibunya itu ketika menerima lawatan dan ucapan takziah daripada Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman.

Ahli keluarga pelajar itu, Zainab Othman, 58, berkata, cucu saudaranya pernah meluahkan perasaan tentang tumpuan media dan orang ramai terhadap dia dan ibunya.

"Mereka dah derita lama, saya beritahu cucu (Syahril) mungkin ini cara Allah angkat darjat awak dan arwah ibu," katanya ketika ditemui di rumah sewa pelajar itu di Kampung Kandis di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarhamah ibu pelajar itu dijangkakan disolatkan di Masjid Pondok Moden, Kandis sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lati pagi hari ini.

Ibu pelajar berkenaan terlantar selepas diserang angin ahmar pada 2019 sebelum semakin lemah empat hari sebelum keputusan SPM diumumkan.

Keadaan ibunya menyebabkan Syahril tidak sampai hati untuk meninggalkan ibunya bagi mengambil keputusan SPM.

Dia mencatatkan kuputusan 11A tunggal di sekolahnya, Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman diraikan warga sekolah yang hadir ke rumahnya untuk menghantar keputusan SPM sehingga videonya menjadi tular di media sosial.

Muhammad Syahril menerima pelukan dan ucapan takziah Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman. FOTO Nor Amalina Alias
Muhammad Syahril menerima pelukan dan ucapan takziah Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman. FOTO Nor Amalina Alias

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 12:01 PM