JOCELYN Chia.
JOCELYN Chia.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tular video di laman sosial menunjukkan pelawak wanita Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekehkan Malaysia ketika membuat jenaka dalam satu persembahan.

Menerusi video itu, Jocelyn dilihat bertanya latar belakang seorang penonton yang hadir.

Sebaik penonton itu menyatakan dirinya dari Malaysia, Jocelyn terus mengeluarkan makian kepada penonton berkenaan.

Bukan setakat itu, Jocelyn turut membandingkan negara asalnya dan Malaysia yang disifatkan jauh lebih ketinggalan daripada segi pembangunan.

"Selepas mendapat kemerdekaan daripada British, kami (Singapura) hanya negara kecil.

"Untuk bertahan, kami bergabung dengan negara lebih besar serta berkuasa, Malaysia.

"Ketika Perdana Menteri muncul di televisyen buat pengumuman kamu (Malaysia) membuang kami, beliau menangis kerana menyangka tidak dapat bertahan tanpa Malaysia.

"Selepas 40 tahun, kami jadi negara dunia pertama. Malaysia di mana kamu? Masih negara membangun? Booo…," selorohnya ketika membuat jenaka berkenaan.

Lebih keterlaluan lagi apabila Jocelyn dilihat seolah-olah mempermainkan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370.

"Kini kamu Malaysia pula mengatakan 'hey Singapura kamu hebat'

"Kami tahu dan tanya kenapa sudah 40 tahun tidak melawat kami dan jawapannya 'pesawat kami tidak boleh terbang.'

"Pesawat Malaysia Airlines hilang tak kelakar ke?" selorohnya yang disambut dengan hilai tawa penonton.

Jenaka keterlaluan Jocelyn mengundang kemarahan netizen Malaysia yang meluahkan perasaan menerusi ruangan komen pada video yang tular itu.

"Isi minyak pun kat Malaysia, lepas itu cakap saya orang Malaysia kereta Singapura ini kawan saya punya, saya pinjam saja," tulis pengguna Facebook (Fb) dikenali Aiman Zainudin.

"Negara dunia pertama tetapi sikap macam sampah.

"Lebih baik simpan lawak itu untuk diri sendiri, tak kelakar mempermainkan tragedi MH370, jika kamu salah seorang keluarga mangsa tentu kamu tak buat lawak begitu," tulis Asyah Razak di ruangan komen pada video dimuat naik Jocelyn di Instagram (IG).

"Hina Malaysia, minum air dari Malaysia," tulis Apai Cadict di Facebook (Fb).

Sementara itu, hasil semakan Harian Metro di Instagram Jocelyn mendapati belum ada permohonan maaf dibuat pelawak berkenaan.

Sebaliknya, Jocelyn hanya memuat naik semula video persembahannya yang tular itu di ruangan Instagram Story.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:25 PM