GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Lelaki gelandangan melecur di punggung dan kaki apabila tilamnya dibakar ketika sedang tidur di hadapan bangunan kedai di Taman Kampian, di sini, malam tadi.

Dalam kebakaran jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 62 tahun dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kebakaran turut menyebabkan kaki lima serta pintu kedai akuarium dan sebuah stor musnah 25 peratus.

"Hasil siasatan mendapati gelandangan terbabit menumpang tidur di kaki lima premis berkenaan sejak dua tahun lalu.

"Mangsa mendakwa dia tidur di kawasan terbabit selepas mengalami kemalangan dan kini hanya mampu bergerak menggunakan tongkat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan terhadap pemilik kedai akuarium pula mendapati lelaki itu sudah tiga tahun membuka perniagaan di kawasan terbabit.

"Pemilik kedai mendakwa dia tidak mempunyai musuh atau bergaduh dengan sesiapa.

"Malah turut memaklumkan tidak mempunyai hutang dengan mana-mana individu dan setakat ini jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM10,000," katanya.

Zaidy berkata, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki menunggang motosikal mempunyai tong di belakang berhenti di tepi bangunan berkenaan.

"Lelaki itu yang dalam keadaan terhuyung hayang serta terjatuh dipercayai mabuk dilihat berjalan menuju ke arah mangsa.

"Rakaman CCTV menunjukkan suspek membakar tilam di kaki lima bangunan sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikalnya," katanya.

Menurutnya, mangsa memberitahu dia sedar tilamnya terbakar namun tidak sempat melihat suspek yang melakukannya.

"Kita sedang mengesan suspek untuk mengenalpasti motif kejadian, kes disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 5:30 PM