TANGKAP layar video menunjukkan kanak-kanak yang memandu kereta Toyota Vios sehingga terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi, tular di media sosial. FOTO Ihsan pembaca
TANGKAP layar video menunjukkan kanak-kanak yang memandu kereta Toyota Vios sehingga terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi, tular di media sosial. FOTO Ihsan pembaca
Hamzah Osman

Langkawi: Kertas siasatan kejadian kanak-kanak berusia enam tahun memandu Toyota Vios milik keluarga sehingga terbabit dalam kemalangan di sini, Selasa lalu, hampir siap.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, setakat ini, polis selesai merakam keterangan ibu bapa kanak-kanak terbabit dan lima individu lain bagi membantu siasatan.

"Lima individu lain itu termasuk tiga saksi di tempat kejadian, selain masing-masing seorang datuk kepada dua kanak-kanak dan anggota polis yang tiba di tempat kejadian.

"Kertas siasatan hampir siap dan ia akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri di Alor Setar, sebaik polis menerima laporan perubatan daripada Hospital Sultanah Maliha," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, kanak-kanak berusia enam dan tiga tahun itu juga akan dirujuk ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi mendapatkan keterangan menyeluruh.

Mengulas video tular di media sosial memapar dan mendakwa kononnya kanak-kanak terbabit berlatih memandu menggunakan simulator di rumah, beliau berkata, perkara itu tidak benar.

"Siasatan pihak polis mendapati tidak ada simulator pemanduan di rumah kanak-kanak terbabit dan individu dalam video itu juga bukan kanak-kanak yang memandu Toyota Vios sehingga menyebabkan kemalangan.

"Sebaliknya menerusi siasatan, kanak-kanak itu mendakwa tahu cara memandu kereta menerusi ilmu yang diperolehi di YouTube dan mengamati cara pemanduan bapanya," katanya.

Rabu lalu, media melaporkan seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila memandu kereta dengan membawa adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai bagi membeli mainan sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta mengalami kecederaan di dagu, manakala adiknya tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 10:38 AM