Paya Linda Yahya


Gua Musang: Cuaca panas menyebabkan air Sungai Nenggiri surut mendadak sehingga menimbulkan beting pasir, lumpur, batu-batuan dan kayu yang boleh membahayakan pemandu bot di Kampung Bertam Baru di sini.

Keadaan itu menyebabkan terdapat segelintir pemandu bot tidak berani mengambil risiko menggunakan bot mereka.

Seorang pemandu bot enjin sangkut, Shaari Mustapa, 55, berkata, air sungai yang surut sehingga menimbulkan batu-batuan dan kayu serta air yang cetek di sesetengah tempat akan membahayakan pemandu bot terutama yang kurang berpengalaman.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sebahagian mereka terpaksa berhenti sementara daripada membawa bot kerana tidak mahu mengambil risiko.

"Hanya pemandu bot enjin galah dan enjin sangkut yang mahir sahaja akan meneruskan pekerjaan mengemudi bot bagi menghantar penumpang atau menangkap ikan.

"Saya berpengalaman membawa bot lebih 40 tahun dan sudah mengetahui selok-belok arus Sungai Nenggiri.

FAKHRY sedang mengemudi bot di Sungai Nenggiri di sini. FOTO Paya Linda Yahya
FAKHRY sedang mengemudi bot di Sungai Nenggiri di sini. FOTO Paya Linda Yahya

"Kebanyakan orang baru atau orang luar akan berhenti membawa bot di sungai ini ketika air surut kerana banyak cabarannya termasuk kawasan sungai banyak beting pasir, tunggul kayu dan batu besar," katanya ketika ditemui di Kampung Bertam Baru, di sini.

Shaari berkata, selain menangkap ikan di sungai, dia juga menjana pendapatan membawa penumpang termasuk dari Kampung Lulut atau Kuala Sungai, yang mengambil masa 15 minit.

Katanya, jika melalui jalan darat yang menggunakan Ladang Serasa, ia akan mengambil masa lebih dua jam untuk sampai ke jalan utama Gua Musang-Kuala Krai.

"Harga tambang bot yang dikenakan antara RM80 hingga RM150 untuk tempoh sehari," katanya.

Sementara itu, pemandu bot enjin galah, Muhamad Fakhry Sharif, 27, berkata, dia meneruskan pekerjaan mencari hasil sungai dan memandu bot ketika cuaca panas demi kelangsungan hidup.

Katanya, walaupun menyedari risiko keselamatan memandu bot ketika air surut, namun dia berhati-hati kerana bot adalah sumber mata pencariannya.

"Kami perasan Sungai Nenggiri surut lebih dua meter sejak awal minggu ini. Kami berharap cuaca panas ini tidak berpanjangan dan dapat meneruskan aktiviti di kawasan Sungai Nenggiri seperti biasa.

"Selain menoreh getah dan berkebun, ramai penduduk mencari hasil sungai untuk menampung keperluan hidup," katanya yang 10 tahun berpengalaman mengemudi bot.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 10:15 AM