JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan mengenai penemuan jejak harimau dewasa kawasan rekreasi Bukit Berekeh. FOTO Ihsan pembaca.
JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan mengenai penemuan jejak harimau dewasa kawasan rekreasi Bukit Berekeh. FOTO Ihsan pembaca.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan mengenai penemuan jejak harimau belang dewasa di kawasan rekreasi Bukit Berekeh, di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Yusoff Shariff, berkata harimau dianggarkan berusia antara 7 hingga 8 tahun itu dipercayai merayau sampai ke kawasan ladang yang turut berhampiran dengan dua penempatan masyarakat Orang Asli iaitu Kampung Bawong dan Kampung Kajang.

Ditanya sama ada pihaknya akan memasang perangkap bagi menangkap seterusnya melakukan translokasi hidupan liar itu, Yusoff berkata pada masa ini pihaknya lebih mengusahakan untuk menghalaunya masuk semula ke hutan.

"Ia merayau sampai ke ladang, dan kami lebih usahakan untuk menghalaunya masuk semula ke hutan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai nasihat khususnya kepada pengunjung Bukit Berekeh berikutan bukit setinggi 454 meter itu yang sememangnya popular bagi aktiviti pendakian, Yusoff berkata pada masa ini pihaknya menasihati agar aktiviti mendaki di situ dihentikan buat sementara waktu ini.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar kesan tapak kaki harimau belang yang didakwa ditemukan kumpulan pendaki sekitar jam 4 pagi di kaki bukit terbabit.

Berdasarkan hantaran tular itu, kumpulan itu turut mendakwa terdengar bunyi ngauman haiwan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 9:36 PM