Op Selamat 20 bakal bermula bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Op Selamat 20 bakal bermula bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sebanyak 13 'kawasan berdarah' kerap berlaku kemalangan maut di negeri diberi tumpuan oleh Polis Kontinjen Melaka sepanjang pelaksanaan Op Selamat 20 bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, ia membabitkan lima kawasan di Melaka Tengah dan masing-masing empat kawasan di Jasin dan Alor Gajah.

Menurutnya, bagi daerah Melaka Tengah, kawasan hotspot kemalangan adalah di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Jalan Umbai-Sungai Udang, Jalan Mufti Haji Khalil, Jalan Batang Tiga-Bukit Rambai-Tanjung Minyak dan Jalan Sungai Udang-Selandar.

"Di Alor Gajah pula membabitkan Jalan Rembia-Kendong, Jalan Alor Gajah-Tampin, Masjid Tanah-Bukit Sedanan dan Lubuk China-Hutan Percha.

"Manakala di daerah Jasin, tumpuan operasi adalah di Jalan Tehel-Bemban-Chabau, Jalan Merlimau-Jasin, Jalan Serkam-Kesang Tua dan Jalan Gapam-Bemban, katanya pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Dewan Parameswara, Mes Ibu Pejabat Polis (IPK) di Bukit Beruang di sini, semalam.

Zainol berkata, pelaksanaan Op Selamat bermula 20 hingga 27 April ini adalah secara penguatkuasaan dan penyuraian kenderaan bagi membudayakan pematuhan undang-undang serta peraturan lalu lintas dalam kalangan pengguna jalan raya seterusnya mengelak kemalangan.

Katanya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka akan meningkatkan rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi yang kerap berlaku kemalangan.

"Seramai 22 pegawai dan 177 aggota akan bertugas memastikan kelancaran trafik sepanjang Op Selamat di Melaka yang mana dijangkakan 48,930 kenderaan akan memasuki Melaka dua hari sebelum Aidilfitri.

"Selain itu dijangkakan 81,550 kenderaan akan berada di jalan negeri sepanjang dua hari pertama hari raya," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, hanya 10 peratus daripada 3,000 anggotanya dibenarkan bercuti dan bakinya akan bertugas dalam memastikan keselamatan lalu lintas dan harta benda.

"Dalam Op Selamat ini kita juga tumpu usaha bendung kes pecah rumah menerusi kempen Rumah Selamat dengan melakukan pemantauan serta rondaan berkala di taman-taman perumahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 3:04 PM