GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tujuh individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas kesalahan terbabit dalam kegiatan judi tahun lalu.

Bagaimanapun kesemua mereka mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Ketika pendakwaan, dua tertuduh, Tan Gaik See, 47, dan Lee Eng Kah, 43, didakwa menjalankan transaksi mesin perjudian.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menguruskan dan mengadakan transaksi dengan 17 buah mesin judi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pasaraya Econsave, Kawasan Perindustrian Teras Jaya, kira-kira jam 4.18 petang pada 28 Disember lalu.

Mereka berdua didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

Kedua-dua tertuduh dibenar diikat jamin masing-masing sebanyak RM8,000 seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu di mahkamah sama, lima lelaki berusia antara 23 sehingga 62 tahun didakwa berjudi dalam talian di rumah judi terbuka di tempat dan masa yang sama.

Kesemua mereka juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM3,000 seorang dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma' 'Amira Shahidani manakala ketujuh-tujuh tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.

Kes akan disebut semula pada 31 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 2:38 PM