Anggota bomba mengangkat mayat remaja yang lems selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Mahkota 7, Taman Ungku Tun Aminah di sini, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba mengangkat mayat remaja yang lems selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Mahkota 7, Taman Ungku Tun Aminah di sini, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Remaja lelaki dilaporkan lemas selepas terjatuh dalam longkang dekat Jalan Mahkota 7, Taman Ungku Tun Aminah di sini, hari ini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai Mohamad Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.01 petang.

Katanya, seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai Pegawai Bomba Faisal Ismail.

"Menurut komander operasi, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa tersangkut selepas terjatuh di dalam longkang.

"PKO bertindak menyelamatkan mangsa menggunakan tali dan masuk ke dalam pembentung di mana mangsa tersangkut.

"Selepas membawa mangsa naik ke kawasan selamat, PKO melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sementara menunggu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Mohamad Riduan berkata, mangsa yang berusia 13 tahun berasal dari Sarawak dan tinggal di flat berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, mangsa sedang berjalan di kawasan berdekatan dengan dua individu yang lain sebelum dilaporkan terjatuh ke dalam longkang ketika cuba menyeberangi longkang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 8:55 PM