Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau bukan individu yang patut dipersalahkan selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 sehingga berlaku kemelut politik dalam negara.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian dalam reaksi kepada titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada 13 Februari lalu.

Beliau berkata, ketika krisis politik pada 2020 itu, beliau meminta supaya Bersatu menangguhkan keputusan untuk keluar Pakatan Harapan (PH).

"Saya tidak faham kenapa orang salahkan saya letak jawatan kerana yang patut disalahkan ialah orang yang tidak sokong pendirian saya ketika itu.

"Saya letak jawatan kerana parti (Bersatu) tolak saya dan biasanya dalam demokrasi apabila kita ditolak parti sendiri maka kita akan letak jawatan.

"Malah, ketika itu juga saya juga sedar bahawa kerajaan PH akan jatuh kerana lompatan daripada pemimpin Bersatu dan beberapa Ahli Parlimen PKR.

"Apabila PH jatuh, saya nak jadi Perdana Menteri pun tak boleh kerana parti saya tidak lagi menjadi kerajaan," katanya pada sidang media bersama pimpinan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di sini, hari ini.

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad.
TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad.

Pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 dapat dielakkan.

Selain itu Dr Mahathir berkata, beliau juga tidak boleh menyerahkan tampuk kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu kerana mengikut proses biasa ia perlu diserahkan kepada Parlimen

"Namun Parlimen tidak bersidang pada masa itu," katanya.

Pada 23 Februari 2020 lalu, Bersatu mengumumkan keluar gabungan PH menerusi kenyataan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan itu jelas Muhyiddin dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi parti dalam mesyuarat khas yang diadakan malam sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 8:20 PM