SUKARELAWAN Islamic Relief mengagihkan bantuan kepada mangsa yang tiada tempat tinggal di Idlib dan Affin, Syria. FOTO Ihsan Islamic Relief.
SUKARELAWAN Islamic Relief mengagihkan bantuan kepada mangsa yang tiada tempat tinggal di Idlib dan Affin, Syria. FOTO Ihsan Islamic Relief.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Biarpun keluarga sendiri terkorban dalam gempa bumi yang menggegarkan Turkiye dan Syria awal pagi Isnin lalu, sukarelawan Islamic Relief tetap bersemangat turun padang menyantuni mangsa terjejas sejak hari pertama bencana berlaku.

Ketua Islamic Relief Cawangan Syria yang berpangkalan di Idlib, Mohammad Hamza berkata, sebaik bencana itu berlaku, pasukannya tidak berlengah lagi sebaliknya terus menggerakkan misi menyalurkan bantuan di kawasan terjejas di sekitar Idlib dan Afrin.

"Ini masa sukar dan tertekan untuk semua orang dan mereka memerlukan sokongan sebanyak mungkin bukan hanya dari bantuan fizikal, malah sokongan moral dan emosi.

"Kebanyakan sukarelawan Islamic Relief juga terkesan. Ada rakan kami kehilangan semua ahli keluarganya, malah ibu bapa seorang lagi rakan kami turut terkorban dalam bencana itu serta ramai lagi kehilangan saudara mara.

"Tetapi mereka tetap tabah turun menjalankan misi bantuan kemanusiaan di lapangan siang malam sejak hari pertama bencana lagi dan hanya sempat tidur sekejap saja itupun jika ada masa terluang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, bencana yang menjejaskan Idlib, Aleppo, Afrin, Latakia, Hama, Sarmada dan Tartus mengakibatkan kemusnahan besar harta benda dan ribuan mangsa kehilangan tempat tinggal serta dikhuatiri maut selepas tertimbus dalam runtuhan bangunan.

"Ketika ini, bekalan perubatan di hospital seperti ubat tahan sakit dan beg mayat semakin berkurangan, malah masih ramai mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

"Suhu yang semakin menurun di bawah paras sifar darjah Celsius turut membimbangkan kerana orang ramai yang kehilangan tempat tinggal terpaksa duduk di luar dalam kesejukan yang membeku hingga menyebabkan ramai sakit dan mereka ini amat memerlukan khemah dan selimut dengan segera," katanya.

 KHEMAH perlindungan sementara dibina untuk mangsa yang tiada tempat tinggal di Idlib dan Affin, Syria. FOTO Ihsan Islamic Relief.
KHEMAH perlindungan sementara dibina untuk mangsa yang tiada tempat tinggal di Idlib dan Affin, Syria. FOTO Ihsan Islamic Relief.

Katanya, bencana itu juga dikhuatiri membawa risiko penyakit seperti taun dan kepialu.

"Kebanyakan punca bekalan air sudah tercemar hingga menyebabkan ramai tidak dapat air minuman bersih dan selamat.

"Kita juga bimbang paras air Sungai Asi di sempadan Syria-Turkiye (aliran dari Lubnan) semakin meningkat dikhuatiri mengakibatkan banjir di kampung berdekatan yang turut terjejas akibat gempa bumi ini.

"Selain itu, runtuhan juga menyekat banyak jalan utama yang menyukarkan lagi penyaluran bantuan dari luar hingga menyebabkan ramai mangsa cedera meninggal dunia kerana ambulans atau kenderaan tidak dapat masuk ke kawasan itu, "katanya.

Mohammad berkata, Islamic Relief meraih lebih AS$4.5 juta (RM19.42 juta) selepas melancarkan Tabung Rayuan Kecemasan Global yang menyasarkan AS$24 juta (RM103.58 juta) nilai kutipan untuk misi kemanusiaan gempa bumi di Syria dan Turkiye.

"Setakat ini, di Syria saja kami sudah menyalurkan bantuan kepada 48,660 penerima daripada 9,732 keluarga.

"Ini termasuk mengedarkan 4,758 selimut, 2,734 tilam, 902,525 kilogram bahan atau alat pemanasan, 72 khemah, 14,205 bungkus roti selain menyediakan 9,740 bekalan ubat dan rawatan kecemasan supaya lebih ramai mangsa dapat dirawat kerana hospital penuh.

"Namun, ia masih belum cukup untuk menampung sepenuhnya keperluan kecemasan kerana situasi semakin kritikal. Masih banyak dana diperlukan supaya dapat membantu dan memenuhi keperluan seramai mungkin mangsa terjejas di kawasan bencana," katanya.

Katanya, Islamic Relief turut menggerakkan beberapa sukarelawan tambahan kecemasan dari cawangan di seluruh dunia seperti United Kingdom dan Kanada untuk membantu kerja kemanusiaan di kawasan bencana.

Setakat semalam, data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merekodkan 10.9 juta orang di Syria terjejas, 1,460 bangunan musnah manakala 3,300 terkorban (Reuters) dan lebih 5,000 (sumber laman web Relief) cedera dalam bencana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 3:05 PM