BERNAMA

Putrajaya: Kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan projek Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) disiapkan tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, projek OPV itu kini diambil alih Kementerian Kewangan.

"Kita terpaksa berikan satu lagi bentuk suntikan pinjaman untuk projek ini siap dan RM152.6 juta pinjaman terpaksa disediakan.

"Dari tinjauan kita projek ini boleh disiapkan iaitu OPV pertama dalam tahun ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini telah memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan APMM bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan perolehan OPV.

APMM dalam kenyataan pada 13 September 2022 berkata, tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan.

Anwar berkata, masalah berkaitan projek-projek yang membabitkan pasukan keselamatan di KDN dan Kementerian Pertahanan akan cuba diselesaikan.

"Perkara perolehan sama ada KDN dan Kementerian Pertahanan yang sangat penting untuk keselamatan tidak diambil kesempatan, hingga menyebabkan kerugian disebabkan pelaksanaan lemah.

"Tindakan pertama mesti selamatkan dan disiapkan mengikut jadual, dan keduanya tidak lepaskan sesiapa yang salah guna kuasa, kaut kekayaan, tanpa siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 4:03 PM
ANWAR bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet. FOTO Mohd Fadli Hamzah