Mangsa banjir di PPS Dewan Kampung Pia, Dong, Raub. Gambar Ihsan APM.
Mangsa banjir di PPS Dewan Kampung Pia, Dong, Raub. Gambar Ihsan APM.
Roselan Ab Malek


Raub: Selepas empat hari pusat perpindahan sementara (PPS) di daerah ini ditutup, ia kembali dibuka hari ini selepas banjir melanda di tiga buah kampung di daerah ini .

Ia menyebabkan 34 mangsa daripada 11 buah keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Pia, Dong di sini.

Hujan lebat berterusan sejak pukul 7 petang semalam menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan penempatan Kampung Sungai Kerak, Kampung Ajai dan Kampung Kuala Dong.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman berkata, kesemua mangsa yang dipindahkan sejak awal pagi ini di PPS Kampung Pia.

"Mereka dipantau keselamatan dan kebajikan oleh APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK)," katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai enam anggota JBPM Raub, empat PDRM dan tujuh APM Raub menjalankan kerja pemindahan mangsa sejak awal pagi ini.

"Operasi pemindahan ini serta pemantauan keselamatan di PPS tersebut dibantu dengan kekuatan empat buah kereta dan lori penyelamat milik PDRM dan JBPM, manakala APM Raub menyediakan sebuah bot penyelamat dan ambulans," katanya.

Dalam perkembangan sama, Shahrul Nizam menjelaskan aliran Sungai Dong berdekatan Kampung Pasir Bayam pada paras amaran, iaitu setinggi 117.84 meter, manakala Sungai Gali berdekatan Kampung Ulu Gali juga di paras bahaya mencatat ketinggian 123.09 meter pada pukul 7 pagi ini.

Beliau berkata, air Sungai Lipis berdekatan Batu Malim dan Sungai Dong berdekatan Kampung Peruas masih menunjukkan paras biasa dan bertahan, manakala keadaan cuaca pada hari ini cerah.

Katanya, penduduk di pesisir Sungai Dong, Sungai Gali dan Sungai Lipis dinasihatkan sentiasa berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat yang sahih tentang situasi banjir di kawasan tersebut daripada anggota APM, JBPM, polis dan pihak berkuasa beruniform lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 4:48 PM