Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Lima kertas kerja membabitkan isu kos sara hidup akan dibentangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Selasa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pembentangan kertas kerja itu penting bagi memastikan jawatankuasa berkenaan dapat mencari penyelesaian isu kos sara hidup rakyat.

"Perdana Menteri akan mempengerusikan Mesyuarat NACCOL pagi Selasa nanti yang membabitkan 15 kementerian dengan lima kertas kerja berhubung isu kos sara hidup akan dibentangkan dan diteliti.

"Antara kementerian yang akan membentangkan kertas kerja adalah Pengangkutan, Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Selepas mesyuarat NACCOL itu, baru akan ada keputusan yang dicapai mengenai isu kos sara hidup yang mungkin akan diumumkan Perdana Menteri.

"Apatah lagi ia menjadi antara misi utama Perdana Menteri yang beriltizam untuk bersama-sama atasi isu kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program berkhatan perdana di Masjid Al Mizan Kempas Baru di sini, hari ini.

SALAHUDDIN pada sidang media selepas merasmikan program berkhatan perdana di Masjid Al Mizan Kempas Baru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SALAHUDDIN pada sidang media selepas merasmikan program berkhatan perdana di Masjid Al Mizan Kempas Baru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Pada 27 November lalu, NACCOL dilaporkan diberi tempoh dua minggu untuk mencerakin dan menelusuri implikasi berkaitan subsidi dan harga barangan.

Perdana Menteri dilaporkan memberi tempoh itu sebaik anggota Kabinet dilantik dan menteri yang terbabit akan segera menguruskan kedua-dua isu berkenaan.

"Saya beri tempoh dua minggu kerana sesuai dengan keputusan yang harus diambil oleh Jemaah Menteri. Saya dahulukan ini kerana saya anggap masalah kes sara hidup terlalu menyiksa sebahagian besar rakyat miskin.

"Saya beri notis dua minggu selesai pembentukan Kabinet kita dapat meneliti keseluruhan dasar dan kementerian yang ditugas menyediakan kertas akan memperbincangkan dengan semua (pihak) perbendaharaan, Bank Negara Malaysia dan sektor swasta sebelum diangkat ke jemaah menteri," katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, KPDN juga akan bermesyuarat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan selepas Mesyuarat Khas NACCOL.

Katanya, mesyuarat berkenaan dijadualkan semalam, namun dianjakkan selepas Mesyuarat Khas NACCOL bagi menyelaraskan isu bekalan makanan dengan lebih teliti.

"Pertemuan rasmi dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan diadakan Selasa ini, bukan semalam.

"Ia penting untuk dua kementerian ini dapat kita bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan dapat berjalan baik.

"Sebab itu, Mesyuarat Khas NACCOL selain mesyuarat dua kementerian pada Selasa ini amat penting. Selepas mesyuarat dua kementerian dibuat, ia akan diteruskan pula dengan memanggil pemain industri ayam telur.

"Ia penting supaya kita dapat penjelasan sebenarnya keadaan yang berlaku terutama gangguan di peringkat pasaran terutama telur ayam gred biasa dan minyak masak bersubsidi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 1:12 PM