MUHAMAD Zaki pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi suspek ke-10 yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan di Jalan PCB pada Oktober lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek ditahan di rumahnya di sekitar Kota Bharu pada jam 12.35 tengah hari semalam.

Media semalam melaporkan, sembilan lelaki termasuk enam remaja bawah umur direman bagi membantu siasatan kes rogol.

Mereka yang berusia di antara 13 hingga 21 tahun masing-masing direman lima hari bagi enam remaja dan tiga lagi yang berusia 18 hingga 21 tahun direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Khamis depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkait kes rogol membabitkan mangsa bawah umur.

Katanya, mangsa memaklumkan keluar rumah di Wakaf Bharu, Tumpat jam 9 malam pada 25 Oktober lalu dan tinggal bersama teman lelakinya di Kampung Semut Api, Jalan PCB.

"Ketika tinggal bersama suspek, mangsa melakukan hubungan bersama suspek dan rakan-rakan lelakinya yang lain.

"Hasil siasatan polis, ibu mangsa membuat laporan polis berkait kehilangan anaknya pada 16 November lalu dan ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, kes rogol berkenaan lebih kepada masalah keluarga yang menyebabkan anak-anak terbiar.

"Kajian yang dilakukan oleh pihak kami juga mendapati kebanyakan mangsa rogol adalah daripada keluarga yang berpecah belah selain ibu bapa yang bercerai.

"Saya menyeru kepada masyarakat di Kelantan untuk sama-sama menangani isu ini dan jangan biarkan anak-anak di bawah umur terjerumus ke dalam kegiatan seperti ini kerana mereka belum matang untuk memikirkan risiko dan akibatnya.

"Bagi menangani perkara ini, saya rasa kita perlu berkolaborasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memantau keluarga yang bermasalah memandangkan pengawasan daripada ibu bapa amat penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 4:43 PM