Seorang mekanik maut selepas van jenazah dipandu terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter di kilometer (KM) 16 Jalan Jemaluang-Mersing Johor. Foto ihsan pembaca
Seorang mekanik maut selepas van jenazah dipandu terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter di kilometer (KM) 16 Jalan Jemaluang-Mersing Johor. Foto ihsan pembaca
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Mekanik meninggal dunia selepas van jenazah dipandunya terbabas dan jatuh gaung di Kilometer (KM) 16 Jalan Jemaluang-Mersing dekat Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ketika kejadian, Wan Mohd Nasyaruddin Wan Isma'on, 38, bukanlah baru selesai menguruskan jenazah orang lain seperti dakwaan tular di media sosial.

Menurut adik bongsu arwah, Wan Mohd Nazrul, 29, abangnya akan memaklumkannya jika perlu menguruskan jenazah.

"Arwah abang memang sering menjadi kelindan van jenazah, yang dilakukan secara sambilan.

"Namun ketika kejadian, saya tidak tahu dia mahu ke mana. Jika arwah ingin menguruskan jenazah sudah pasti saya dimaklumkan.

"Malah tiada pengusung keranda di dalam van yang dipandunya ketika kemalangan itu," katanya.

Wan Mohd Nazrul berkata, kali terakhir dia menemui arwah yang juga anak kedua daripada empat beradik petang semalam, ketika mereka keluar minum bersama rakan.

"Tiada sebarang perubahan dan arwah bersikap seperti biasa sahaja," katanya yang memberitahu Wan Mohd Nasyaruddin meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki berusia dua hingga 10 tahun.

Menurutnya, jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Dato Adib, Endau selepas Maghrib ini.

Sementara itu, Ketua polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kemalangan pada 9.15 pagi itu dipercayai berlaku selepas van dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter.

Katanya, mangsa berseorangan dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:08 PM