TANGKAP layar video tular
TANGKAP layar video tular
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Polis sudah mengenal pasti identiti ibu bapa dua kanak-kanak yang video mereka melakukan aktiviti 'flying fox' tular di laman sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata, pihaknya mengesahkan perkara itu berlaku di daerah ini.

"Kita sudah mengenal pasti ibu bapa kanak-kanak terbabit. Kejadian yang tular itu berlaku di Hulu Selangor," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Suffian mengingatkan masyarakat supaya mementingkan penjagaan dan keselamatan anak-anak, terutamanya ketika melakukan aktiviti lasak.

"Walaupun aktiviti (flying fox) ini adalah satu bentuk sukan, tetapi ia membawa atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya dan kecederaan.

"Ia juga pengabaian dalam aspek keselamatan dan satu kesalahan mengikut Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Justeru, katanya, polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu tampil membuat laporan supaya tindakan tegas dapat diambil.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit dua saat memaparkan dua kanak-kanak melakukan aksi flying fox serentak.

Berdasarkan video itu juga, kanak-kanak terbabit diikat pada peralatan keselamatan sebelum dibiarkan lepas dengan seorang daripadanya tidak memakai topi keselamatan.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan netizen yang menyifatkan tindakan itu tidak wajar dan membahayakan nyawa kanak-kanak kecil terbabit.

Individu yang memuat naik video memaklumkan pihak yang berada di lokasi itu hanya tergelak menyaksikan situasi berkenaan

"Diorang (mereka) kat (dekat) situ boleh gelak happy (gembira). Tah (Entah) lah, aku je ke rasa kesian ngan (dengan) budak-budak ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 1:55 PM