Nazdy Harun


Kuala Berang: "Ingatkan babi yang merayau di halaman rumah namun sebaik membuka tingkap saya terkejut apabila sekumpulan gajah berada di hadapan rumah," kata Suriati Kassim, 40, dari Kampung Basung, dekat sini.

Menurutnya, dia menyedari kehadiran sekumpulan lebih 10 ekor gajah jam 3.30 pagi kelmarin apabila membuka tingkap untuk melihat apa yang berlaku apabila terdengar bunyi sesuatu di hadapan rumahnya.

Dia berkata, sebelum ini sekumpulan gajah liar hanya berada di pinggir kampung namun sejak kebelakangan ini haiwan terbabit sudah mula menghampiri kawasan kediaman.

"Kami penduduk bimbang dengan keselamatan kerana gajah bukan saja merosakkan tanaman penduduk malah berkeliaran di kawasan kediaman pada waktu malam.

"Saya berharap langkah segera diambil pihak berwajib bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku terutama membabitkan keselamatan penduduk yang keluar pada waktu malam," katanya.

Jirannya, Azri Mamat, 39, berkata, kehadiran sekumpulan gajah liar disedari penduduk sejak dua bulan lalu namun kumpulan gajah itu hanya berada di pinggir kampung.

"Namun, satu dua hari ini gajah mula memasuki kampung dan turut menceroboh kebun pisang dan kelapa.

"Saya pernah terserempak dua kali dengan haiwan berkenaan, pertamanya ketika berada di rumah dan kali kedua ketika keluar untuk ke kedai pada waktu malam," katanya.

Menurutnya, dia bimbang keselamatan penduduk setempat kerana gajah terbabit semakin berani dengan menghampiri kediaman penduduk mencari makan dan berjalan melintasi jalan raya.

Seorang lagi penduduk, Mamat Mat Amin, 71, berkata, gangguan gajah liar ini bukan hanya di Kampung Basung, malah turut meliputi dua lagi kampung bersebelahan iaitu Kampung Pasir Dula dan Kampung Padang Setebu.

Menurutnya, kawasan rumahnya turut didatangi 'tetamu tidak diundang' itu dan kehadiran haiwan terbabit turut merosakkan tanaman pisang dan kelapa yang ditanam di perkarangan rumahnya.

"Masalah gajah dan penduduk ini sudah dua bulan berlarutan dan gajah terbabit kini mula memasuki kawasan kampung untuk mencari makanan.

"Saya amat berharap pihak berwajib dapat mengatasi masalah ini kerana membabitkan keselamatan nyawa penduduk di tiga kampung yang dianggarkan seramai 1,200 orang," katanya.

Menurutnya, kedudukan kampung yang terletak tidak jauh dari Tasik Kenyir, selain dikelilingi hutan dan bukit menjadikan kawasan ini lebih terdedah dengan ancaman gajah liar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sudah menghantar pasukan operasi untuk menangkap gajah berkenaan.

"Kami meminta penduduk bersabar dan tidak mengganggu haiwan terbabit bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Kita sudah menghantar pasukan operasi ke kawasan berkenaan dan proses menangkap gajah terbabit sedang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 2:34 PM