Zahratulhayat Mat Arif

Ipoh: "Pesanan saya, loghat itu kena 'adjust' sikit." Begitu kata-kata penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Tambun bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketika ditanya mengenai reaksinya terhadap hasrat presiden PKR itu untuk bertanding di Tambun, Ahmad Faizal nampak tenang.

"Ia tidak akan mudah untuk Anwar, tidak berjalan lancar untuknya. Saya telah melakukan yang terbaik, terutamanya ketika pandemik Covid-19.

"Fokus saya adalah kepada pengundi dan bukan mana-mana individu. Apatah lagi untuk wakil rakyat nomad? Kita berdepan cabaran yang sama," katanya ketika dihubungi New Straits Times, hari ini.

AHMAD Faizal Azumu. FOTO Bernama
AHMAD Faizal Azumu. FOTO Bernama

Ketika ditanya sama ada beliau masih akan mempertahankan kerusi Tambun pada PRU-15, Ahmad Faizal yang juga timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan perkara itu.

"Saya akan bertanding di Tambun. InsyaAllah," katanya ringkas.

Pada PRU-14, Ahmad Faizal menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan calon Pas Ibrahim Zakaria dengan majoriti 5,320 undi.

Ahmad Faizal turut dilantik Menteri Besar Perak sebelum gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung usul undi percaya ketika persidangan pada Disember 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 4:22 PM