Rosol Wahid (dua dari kiri) diiringi Presiden Lotus's Malaysia, Kenneth Chuah (kiri) melawat pameran jualan produk Malaysia selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 di Pasaraya Lotus's Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Rosol Wahid (dua dari kiri) diiringi Presiden Lotus's Malaysia, Kenneth Chuah (kiri) melawat pameran jualan produk Malaysia selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 di Pasaraya Lotus's Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus nilai jualan bagi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, sejumlah RM3.2 bilion nilai jualan produk jenama tempatan berjaya direkodkan menerusi KBBM pada tahun lalu.

"Pada kempen kali ini, jualan barangan tempatan ini dijangka akan meningkat melebihi RM3 bilion berbanding kempen tahun lalu terutamanya ekonomi negara sedang pulih selepas pandemik Covid-19.

"Kejatuhan nilai ringgit juga sebenarnya sedikit sebanyak beri kesan dan peluang untuk pengguna berbelanja dan membeli barangan buatan Malaysia dan dengan promosi berterusan KBBM, kementerian yakin ia akan dapat melonjakkan permintaan barangan tempatan dalam pasaran," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia di Lotus's Shah Alam dekat sini, hari ini.

Turut hadir adalah Presiden Lotus's Malaysia Kenneth Chuah, Ketua Pegawai Eksekutif Hala Development Corporation (HDC) Hairol Ariffein Sahari serta Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDNHEP Datuk Rohaizi Bahari.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, dengan penjenamaan KBBM yang dimulakan sejak 1984 itu, beliau berharap kempen berkenaan tidak hanya bersifat secara bermusim sahaja tetapi menjadi satu gagasan yang dijiwai dengan serius oleh setiap pemain industri, pengusaha dan komuniti pengguna.

Dalam pada itu, menjelang musim tengkujuh yang dijangka berlaku Disember ini, Rosol berkata, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang akan terbabit misi bencana banjir supaya mengutamakan produk tempatan sebagai barang sumbangan utama kepada mangsa.

"Kita tahu rakyat Malaysia adalah rakyat yang budiman. Apa sahaja bencana berlaku, ramai yang tampil untuk beri bantuan. Cuma harapan saya untuk barangan bantuan pilihlah barangan buatan Malaysia kerana kita ada pelbagai jenis barangan daripada pakaian, makanan, peralatan elektrik dan sebagainya.

"Disamping kita membantu mangsa banjir, kita secara tidak langsung membantu pengusaha khususnya dari perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memajukan perniagaan mereka," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai Belanjawan 2023, Rosol berharap Kementerian Kewangan akan mempertingkatkan peruntukan kementeriannya khususnya bagi memperkasakan industri francais.

"KPDNHEP menerima peruntukan RM4 juta bagi tujuan memperkasakan industri francais dan jika tidak boleh dapat lebih, harapnya jumlah itu dikekalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 4:48 PM