NANCY ketika berucap pada majlis pelancaran MyQTA versi baharu. FOTO Bernama.
NANCY ketika berucap pada majlis pelancaran MyQTA versi baharu. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyQTA) versi baharu akan memberi peluang lebih banyak kepada pemain industri untuk memohon pengiktirafan di bawah inisiatif itu, seterusnya meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, versi baharu itu menyokong matlamat menjenamakan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama melalui pembangunan produk dan pakej mengikut acuan sendiri.

Katanya, MyQTA menyediakan rujukan kepada orang ramai untuk memilih produk pelancongan terbaik memandangkan produk pelancongan yang menerima pengiktirafan MyQTA lebih meyakinkan pelancong.

"Penyampaian aspek kualiti dalam penyampaian perkhidmatan akan menggalakkan pelancong untuk memilih tinggal lebih lama, melawat lebih banyak tempat dan berbelanja lebih.

"Pelancong sanggup membayar lebih jika produk atau perkhidmatan yang disediakan adalah berkualiti tinggi dan memberikan pengalaman yang unik," katanya dalam ucapan pelancaran MyQTA versi baharu, hari ini.

Nancy berkata di bawah versi baharu program itu, kategori di bawah MyQTA distrukturkan semula daripada 13 kepada tujuh kategori berdasarkan segmen yang telah dikenal pasti di bawah Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

Tujuh kategori baharu selepas penstrukturan semula itu adalah Pelancongan Alam Semula Jadi, Kembaraan dan Eko; Sukan dan Rekreasi, Membeli Belah, Gaya Hidup, Akuakultur, Marin, Kebudayaan dan Warisan, Pelancongan Buatan Manusia dan Pelancongan Perniagaan.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 61 produk pelancongan daripada pelbagai kategori di seluruh negara telah menerima pengiktirafan MyQTA dan bilangan itu akan bertambah berdasarkan 28 permohonan baharu dan penilaian semula yang diterima olek Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk tahun ini.

Selain penstrukturan semula kategori permohonan, MyQTA versi baharu turut memperkenalkan pengkelasan markah melalui penarafan platinum, emas dan perak yang akan menarik minat lebih ramai pemilik produk pelancongan memohon pengiktirafan program itu. Program MyQTA yang diperkenalkan pada 2014 memberikan pengiktirafan kepada produk pelancongan serta memberi penekanan kepada penggiat industri pelancongan supaya lebih mengutamakan mutu perkhidmatan dan keperluan menaik taraf kualiti kemudahan produk pelancongan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 8:38 PM