Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan mengenal pasti beberapa kawasan di negara ini untuk dijadikan tarikan baharu dan disenaraikan di bawah zon pelaburan pelancongan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kawasan berkenaan dikenal pasti menerusi daya tarikan dari segi ekosistem, biodiversiti dan hasil produk tempatan.

Beliau berkata, dengan pengenalan banyak destinasi ekopelancongan, beliau berharap Malaysia dapat menjadi juara dalam bidang itu sekali gus berupaya menarik lebih ramai pelancong tempatan mahupun luar negara bagi merangsang pelaburan di kawasan terbabit.

"Ada banyak kalau kita lihat dari segi zon pelaburan pelancongan kerana kita banyak produk (pelancongan) yang belum diterokai.

"Maka dengan itu, kita menyasarkan beberapa tempat dan produk yang boleh dijadikan zon pelaburan pelancongan," katanya selepas menjadi tetamu program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Motac Datuk Dr Noor Zari Hamat, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Zulkifly Md Said dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail.

Nancy berkata, negara memiliki banyak produk melalui ekopelancongan dan menjadi daya tarikan bukan sahaja kepada pengunjung luar, malah dalam negara, namun tidak dapat dieksploitasi berikutan pandemik Covid-19.

PENGUNJUNG menikmati pemandangan menarik di tebing batu ketika menyusuri 'Chimney Walking Trail' Tanjung Kubong, Labuan. Laluan denai 'Chimney Walking Trail' ini mampu menjadi salah satu tarikan baharu pelancongan-eko kepada pengunjung tempatan mahupun pelancong luar negara. FOTO Bernama
PENGUNJUNG menikmati pemandangan menarik di tebing batu ketika menyusuri 'Chimney Walking Trail' Tanjung Kubong, Labuan. Laluan denai 'Chimney Walking Trail' ini mampu menjadi salah satu tarikan baharu pelancongan-eko kepada pengunjung tempatan mahupun pelancong luar negara. FOTO Bernama

"Semasa Covid-19, mereka sangat berhati-hati. Jadi kita nak tumpukan kepada pelancongan dalam negara.

"Saya lihat pulau-pulau misalnya boleh jadi (zon pelaburan) pelancongan yang kita boleh sasarkan.

"Ada gua boleh tarik pelancongan seperti golongan muda. Ada yang suka mendaki, meneroka gua," katanya.

Terdahulu, Nancy mengadakan pertemuan dengan barisan pengurusan tertinggi Media Prima Berhad (MPB) bagi membincangkan hal berkaitan pelancongan.

Ketibaannya disambut Pengerusi MPB Datuk Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Datuk Khairul Anwar Salleh.

Sementara itu, menerusi rancangan di MHI, Nancy sempat mempromosikan aplikasi MYcraftshoppe iaitu platform membeli-belah produk tradisional dan kesenian hasil usahawan di bawah Kraftangan Malaysia.

Setakat ini, katanya, lebih 6,000 usahawan kraf berdaftar melalui aplikasi itu.

"Aplikasi ini memberi kemudahan kepada mereka yang nak lihat produk tempatan. Dulu perlu hadir beli dan lihat secara fizikal tetapi sekarang tak perlu lagi.

"MYcraftshoppe memberikan kemudahan dan maklumat diingini. Semua ada dalam aplikasi itu. Cuma perlu muat turun sahaja," katanya.

Katanya, sebelum ini pihaknya menyasarkan nilai jualan industri kraf sebanyak RM500 juta, bagaimanapun pandemik Covid-19 menyebabkan sasaran itu perlu diubah kepada RM200 juta sahaja.

"Namun, pada 30 November lalu, kita dapat mencapai RM215.05 juta. Ia umpama salah satu semangat baharu kepada kita untuk memperbaiki dan pelajari semasa Covid-19 ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 3:25 PM