GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah hari ini mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding undang-undang bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya kerana mengkritik keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh juga membenarkan permohonan Maria untuk mendapatkan perintah penangguhan prosiding komital di Mahkamah Syariah sementara menunggu permohonan semakan kehakiman itu selesai.

Hakim membenarkan permohonan Maria untuk semakan kehakiman selepas memutuskan beliau tidak mencabar mana-mana bahagian undang-undang Islam yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah tetapi beliau mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah berhubung prosiding komital terhadapnya.

Beliau berkata, Maria (pemohon) mengemukakan permohonan berdasarkan haknya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

"Tidak kira sama ada beliau Ahli Parlimen atau penjaja jalanan, mahkamah tidak akan berdiam diri. Pemohon sudah mengemukakan bahan yang cukup untuk berhujah bahawa prosiding penghinaan itu boleh dicemari dengan ketidakpatuhan prosedur," kata hakim ketika menyampaikan keputusan melalui prosiding dalam talian.

Beliau kemudian menetapkan 15 September bagi pengurusan kes.

Maria, 65, memfailkan permohonan itu pada 3 Mac tahun lalu, menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada masa itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden pertama hingga ketiga.

Maria, antara lain, memohon satu perintah certiorari membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Oktober 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya.

Maria mendakwa pengeluaran perintah dan notis itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta menyalahi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998).

Pada 4 Disember 2020, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu.

Ini berikutan mahkamah berkenaan menolak permohonannya untuk mendapatkan tempoh lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu membenarkan prosiding menghina mahkamah (komital) dimulakan terhadapnya.

Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan berikutan Maria mengeluarkan komen dan mengkritik keputusan mahkamah yang memerintahkan hukuman penjara tujuh hari dijatuhkan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka.

Peguam Rosli Dahlan mewakili Maria manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly bertindak bagi kesemua responden.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 3:01 PM