ANGGOTA APM memberi rawatan awal gelandangan yang digigit anjing. FOTO Ihsan APM.
ANGGOTA APM memberi rawatan awal gelandangan yang digigit anjing. FOTO Ihsan APM.
Ahmad Hasbi


Tampin: Mungkin rasa terancam dengan kehadiran manusia, seekor anjing jalanan betina yang baru melahirkan anak bertindak menggigit seorang lelaki di Pekan Gemas, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, lelaki dipercayai gelandangan berusia dalam lingkungan 40-an dikatakan cedera di kedua-dua belah pergelangan kaki.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian jam 8.33 malam.

"Kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan terdapat seorang lelaki yang digigit anjing di kawasan tempat menunggu di stesen kereta api, di sini, dalam keadaan berlumuran darah.

"Sepasukan anggota dan pegawai dari Pejabat APM Daerah Tampin bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki gelandangan sedang terbaring di lokasi kejadian dengan keadaan kedua-dua belah masih berdarah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Syukri berkata, lelaki terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan terdapat kesan gigitan anjing pada kakinya.

"Kami memberikan rawatan awal kepada lelaki itu sebelum membawanya ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan lanjut.

"Daripada maklumat yang diterima daripada orang awam, mereka memaklumkan anjing jalanan berkenaan memang sudah lama berada di lokasi itu, namun bertukar agresif sejak melahirkan anak beberapa hari lalu.

"Bagi permasalahan anjing ini, ia di luar bidang kuasa kami. Namun, apabila berlaku kejadian seperti ini berlaku, ia memberi ancaman dan berisiko kepada wanita, warga emas serta kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 8:52 AM