GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengetepikan keputusan melepas dan membebaskan bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor daripada pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram beberapa tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Adnan Md Daud, 59, sebelum ini dibebaskan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi di Alor Setar atas pertuduhan terbabit namun pihak pendakwa raya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Mohd Adnan dipenjara setahun dan denda RM10.8 juta serta dipenjara enam bulan jika gagal bayar.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri Hanipah Farikullah, Ahmad Nasfy Yasin dan Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas menerima Rayuan Pendakwa Raya sebaik mendengar hujahan kedua-dua pihak pendakwa dan peguam bela tertuduh.

Sehubungan itu, Perintah Lepas Bebas daripada dua pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seskyen 24 Akta yang sama dan dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut seksyen sama oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang disahkan Hakim Mahkamah Tinggi, adalah diketepikan.

Tuduhan pertama, Mohd Adnan dituduh memperoleh rasuah (komisen) sebanyak RM68,343.47 daripada Sah Hizam Halim sebagai upah kerana memilih kerja membekal susu tepung fasa tiga Tabika/Taska PERMATA diberikan kepada Syarikat Perniagaan Naluri Pertama dan kerja-kerja membekal serbuk malt coklat Tabika/Taska PERMATA diberikan kepada Syarikat Alpha Elite Resources.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Alor Setar, di sini, pada 14 Disember 2016.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Adnan dituduh menerima rasuah (komisen) sebanyak RM86,053.22 daripada individu sama sebagai upah membabitkan kontrak pembekalan pelbagai barangan seperti biskut krim, makanan tambahan susu tepung dan bijirin kepada lima syarikat yang semuanya dimiliki dan dalam kawalan Sah Nizam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Alor Setar, di sini, pada 7 Januari 2015.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, Mohd Adnan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan.

Bagi pertuduhan ketiga dia didakwa membabitkan diri dalam aktiviti haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM120,000.00 dari Akaun Simpanan Maybank ke dalam Akaun Semasa Maybank di mana daripada jumlah itu, RM86,053.45 diperoleh daripada hasil aktiviti haram pada 8 Januari 2015.

Mohd Adnan turut didakwa atas pertuduhan menggunakan cek bernilai RM100,000 hasil aktiviti haram bagi tujuan pembayaran deposit rumah.

Dia didakwa menggunakan cek Maybank bernilai RM100,000 bagi tujuan pembayaran deposit rumah berkembar dua tingkat di Seksyen U13, Setia Alam yang mana sejumlah RM86,053.22 daripada jumlah asal diperoleh daripada hasil aktiviti haram.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1)(b) undang-undang yang sama.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke sementara tertuduh diwakili Hasnal Rezua Merican

tamat

From: Mhafis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 11:39 PM