Ainal Marhaton Abd Ghani


Kuantan: "Kalau boleh, setiap hari anak-anak hendak ziarah pusara ibu mereka walaupun hanya untuk beberapa minit sahaja, yang penting ziarah," kata Abdul Rani Mat, 61.

Bapa kepada lapan anak termasuk lima anak istimewa itu berkata, anak-anaknya tanpa mengira waktu akan mengajaknya ke Tanah Perkuburan Islam Kolam Air, Beserah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya untuk bertemu 'mama' yang dirindui.

"Selagi saya tak bawa ke sana, mereka akan mengamuk, merengek dan 'buat perangai' yang bukan-bukan menyebabkan saya tidak sampai hati menghampakan permintaan mereka.

"Anak-anak menunjukkan wajah yang sangat gembira tiap kali dibawa ke kubur tetapi akan terus diam dan ada kalanya menangis ketika mengaminkan doa yang saya baca," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Rumbia, Beserah di sini, semalam.

Bagaimanapun, Abd Rani berkata, anak-anaknya akan ketawa semula sambil melambai-lambai ke arah kubur sebelum pulang seperti tiada apa yang berlaku.

"Kalau ditanya kenapa nak pergi kubur, dengan menggunakan bahasa isyarat mereka beritahu nak jumpa mama, teringat mama," kata Abdul Rani sebak.

Isteri Abdul Rani, Zawiah Mahmud, 58, meninggal dunia pada 24 April lalu seminggu sebelum Aidilfitri kerana komplikasi darah tinggi, jantung dan paru-paru bengkak.

Sejak itu, dia mengurus semua keperluan anak-anaknya dengan bantuan anak kelimanya, Nurul Aina Fitrah, 25.

Lima anak istimewanya, Mohd Asrul Nizam, 37, Siti Nurul Ashikin, 34, Mohd Iskandar, 30, Mohamad Ikmal Hakimi, 23, dan Mohamad Amir Azwan, 19, tidak mampu mengurus diri sendiri.

Anak sulungnya, Nur Azuraida, 38, bekerja dan menetap di Klang, Selangor.

Seorang lagi anak lelakinya, Muhammad Faizal meninggal dunia ketika berusia empat bulan kerana demam panas.

"Saya bersyukur kerana dua anak perempuan sangat menyayangi dan melayani adik-beradik mereka seperti biasa walaupun ibu mereka sudah tiada.

"Mereka juga sudah berjanji tidak akan berpisah atau menyerahkan abang dan adik mereka kepada orang lain jika saya sudah tiada," kata bekas anggota tentera itu.

Abdul Rani berkata, anak-anaknya sentiasa kelihatan gembira.

Walaupun tidak mampu bertutur, mereka akan menegur melalui cara mereka sendiri dengan bersalam, memeluk dan melambai tangan kepada semua orang yang ditemui.

Abdul Rani yang menghidap darah tinggi dan kencing manis berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori tangki kerana menghidap penyakit lelah selain perlu memberi tumpuan kepada anak-anak istimewanya itu.

Kelima-lima anaknya pernah dihantar ke sekolah pendidikan khas dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PdK), Seri Cahaya, Balok.

Mohamad Ikmal Hakimi dan Mohamad Amir Azwan masih mengikuti aktiviti di PDK berkenaan.

Menurutnya, dia kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan daripada Nur Azuraida dan Nurul Aina Fitrah yang bekerja di pasar raya berdekatan.

Menurut Abdul Rani, anak-anaknya adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pada masa sama, mereka turut dibantu pihak tertentu yang menghulurkan sumbangan.

"Saya sentiasa berusaha menceriakan kehidupan anak-anak selepas ketiadaan ibu mereka walaupun pada hakikatnya mereka tidak tahu apa-apa.

"Cuma satu perkara yang menjadi keutamaan saya sekarang ialah memenuhi kehendak mereka menziarah pusara dan keluar bersiar-siar sekitar kampung seperti yang arwah isteri lakukan sebelum ini," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 1:10 PM
Abdul Rani bersama lima anak istimewanya ketika menziarahi pusara Zawiah di Tanah  Perkuburan Kolam Air, Beserah, Kuantan. FOTO AINAL MARHATON ABD GHANI
Abdul Rani bersama lima anak istimewanya ketika menziarahi pusara Zawiah di Tanah Perkuburan Kolam Air, Beserah, Kuantan. FOTO AINAL MARHATON ABD GHANI