ASISTEN Komisioner Noor Dellhan Yahaya. FOTO Hairul Anuar  Rahim
ASISTEN Komisioner Noor Dellhan Yahaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis tidak membenarkan peserta Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman yang akan berlangsung di Padang Merbok, di sini, esok, untuk berarak hingga ke Bangunan Parlimen atas faktor keselamatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, selepas mengambil kira beberapa aspek, pihaknya bersetuju untuk membenarkan peserta berkumpul di Padang Merbok.

"Mereka merancang untuk berarak hingga ke Bangunan Parlimen, namun tindakan itu akan mendatangkan risiko keselamatan kepada peserta perhimpunan serta pengguna jalan raya yang lain.

"Saya menasihatkan penganjur (Badan Peguam Malaysia) mengikuti saranan pihak polis supaya tidak melakukan perarakan seperti yang dirancang kerana kita bimbang dengan keselamatan semua pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihak polis juga akan berada di Padang Merbok bagi memantau keadaan sepanjang perhimpunan terbabit, esok.

Sebelum ini, media melaporkan Badan Peguam Malaysia akan menganjurkan Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman di Padang Merbok jam 10 pagi, esok, bagi menghantar mesej jelas kepada pihak yang 'berusaha untuk campur tangan' dalam badan kehakiman.

Pada April lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat memaklumkan kritikan terhadap badan kehakiman sudah melampaui batas selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berikutan catatan dari blog politik yang mendakwa dia mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Ketika berkhidmat sebagai hakim mahkamah tinggi, Mohd Nazlan mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 4:15 PM