GAMBAR hiasan. Bangunan SPRM Putrajaya. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Bangunan SPRM Putrajaya. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Pengerusi Biro Politik MPM, Shahbudin Embun berkata, SPRM sebagai agensi penguat kuasa diberi mandat melalui Akta SPRM 2009 untuk menyiasat sebarang laporan dan aduan rasmi yang dibuat.

Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang melarang SPRM menjalankan siasatan terhadap Mohd Nazlan adalah tidak munasabah.

"SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberikan mandat untuk menyiasat kes kesalahan jenayah. Terdapat beberapa kes yang mana hakim yang ditakrifkan oleh undang-undang sebagai pegawai badan awam pernah disiasat dan didakwa atas pertuduhan rasuah.

"Pada tahun 2009, bekas Majistret Mohd Firdaus Ramlan ditahan, disiasat dan seterusnya dibicarakan. Dia dipenjarakan selama tiga tahun dan denda RM40,000 kerana menerima rasuah," katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM sebelum ini dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan manakala Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki memaklumkan siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan rasmi.

Pada 21 April lalu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai isu berkenaan.

Menurut, kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Istana Kehakiman Putrajaya, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk 'Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account' yang disiarkan sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Ia juga berniat jahat bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan serta mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman.

Sementara itu, Shahbudin berkata, tindakan Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung dakwaan terbabit menunjukkan beliau percaya dan yakin terhadap agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan.

Justeru, katanya, SPRM wajar meneruskan siasatan dengan segera tanpa gangguan demi menjaga nama baik Badan Kehakiman.

Semalam, Badan Peguam Malaysia dilaporkan berkata, siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan adalah tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan.

Presidennya Karen Cheah Yee Lynn dilaporkan berkata, siasatan itu melanggar doktrin pengasingan kuasa dan juga menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 5:07 PM