Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang: Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pemilik akaun Facebook (FB) yang memuat naik video Komander Operasi Bencana sedang memberi arahan di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini, pada Khamis lalu akan dipanggil memberi keterangan, esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak memaklumkan kedua-dua individu berkenaan dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pihak polis membuka kertas siasatan terhadap pegawai APM yang ingkar arahan ketika kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini, kelmarin.

Mohamad Farouk Eshak sebelum ini berkata, pihaknya turut menyiasat pemilik akaun FB yang memuat naik video Komander Operasi Bencana sedang memberi arahan dan kawalan di tempat kejadian tanah runtuh.

Video berdurasi 55 saat itu disebarkan oleh pemilik akaun FB yang memaparkan seorang pegawai APM ingkar arahan yang diberikan oleh Komander Operasi Bencana.

Pegawai APM itu didakwa masuk ke lokasi bencana yang juga kawasan larangan tanpa kebenaran sekali gus akan menjejaskan keselamatan pasukan mencari serta mengganggu usaha operasi menyelamat.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan empat maut termasuk seorang pekerja kontraktor lantikan Pengurusan Air Selangor Sdn Berhad (Air Selangor), manakala seorang lagi lelaki cedera dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

Berita berkaitan

Polis siasat pegawai APM, pemilik akaun Facebook

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 3:18 PM