KEADAAN rumah penduduk di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian yang mula dimasuki air. FOTO ihsan MPKK SUNGAI BULUH
KEADAAN rumah penduduk di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian yang mula dimasuki air. FOTO ihsan MPKK SUNGAI BULUH
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Jalan Simpang Durian ke Simpang Pelangai berhampiran Durian Tipus sejauh satu kilometer tidak boleh dilalui semua kenderaan berikutan dinaiki air hingga satu meter selepas hujan lebat, hari ini.

Bagaimanapun, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pertang, Mohd Hafez Ibrahim berkata, tiada mangsa dipindahkan buat masa ini dan limpahan air Sungai Triang hanya lalu di halaman penduduk kampung berhampiran Durian Tipus sahaja.

Beliau berkata, bomba akan terus memantau keadaan selepas menerima laporan daripada penduduk pada 6.30 petang dan akan mengambil langkah sewajarnya sekiranya keadaan bertambah teruk termasuk memindahkan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Buluh, Mustakim Muhammad berkata, belum ada mangsa dipindahkan biarpun beberapa rumah dimasuki air.

"Selain itu, terdapat air bertakung di halaman rumah penduduk sahaja.

"Kami akan terus memantau keadaan dan bersiap sedia sekiranya keadaan semakin teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 8:43 PM