SYED Mohamad Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin Aidid
SYED Mohamad Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin Aidid
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Malaysia menyatakan kesediaan untuk menyokong draf resolusi berkaitan Ukraine dalam pengundian yang akan diadakan di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, malam ini.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Syed Mohamad Hasrin Aidid, ketika berucap di Sesi Khas Tergempar ke-11 di Perhimpunan Agung PBB, di New York, berkata Malaysia mengulangi komitmennya ke arah penyelesaian yang aman terhadap pertikaian berkenaan, dipandu dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

"Ia demi kepentingan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta mempromosikan kemakmuran yang lebih besar.

"Dalam hal ini, Malaysia akan mengundi memihak kepada draf resolusi yang dibawa di hadapan Perhimpunan ini," katanya.

Pada masa sama, Syed Mohamad Hasrin berkata, Malaysia juga pernah mengalami kesan daripada konflik di Ukraine apabila pesawat MH17 milik Malaysia Airlines ditembak jatuh lapan tahun lalu, meragut seramai 298 nyawa.

Katanya, kematian mereka yang tidak berdosa itu terus diingati dan diratapi semua.

"Kami juga mahu meneruskan usaha, bersama-sama dengan rakan senasib untuk memperoleh keadilan dan kebertanggungjawaban selaras kedaulatan undang-undang serta Resolusi Majlis Keselamatan PPB 2166 pada 2014," katanya.

Syed Mohamad Hasrin berkata, Malaysia juga menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan konflik ketenteraan di Ukraine selain kesal dengan ketidakmampuan Majlis Keselamatan PBB untuk menjalankan tanggungjawab utamanya untuk menjamin keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Oleh itu, beliau berkata, sesi khas tergempar itu perlu diadakan pada Perhimpunan Agung PBB.

Beliau berkata, Malaysia memahami kebimbangan terhadap keselamatan oleh semua pihak namun setiap keadaan semua pihak mesti mematuhi dan menghormati prinsip kedaulatan dan integriti wilayah semua negara, seperti yang termaktub dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

"Mana-mana pelanggaran prinsip suci ini tidak boleh diterima," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia mengambil pendirian untuk semua pihak menahan diri dan mengambil langkah yang kukuh untuk meredakan konflik antara Rusia dan Ukraine ketika ini serta menggesa kepada dialog bagi menyelesaikan konflik berkenaan secara aman.

Berikutan itu, beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan perbincangan langsung antara Ukraine dan Rusia di Belarus pada Isnin lalu.

"Kami berharap perbincangan ini akan diteruskan dan membawa kepada penyelesaian segera kepada konflik berkenaan untuk mengekang daripada lebih banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan.

"Malaysia juga menyeru semua pihak untuk mengekang daripada mengambil tindakan secara unilateral yang berkemungkinan memburukkan lagi ketegangan serta membawa kepada akibat yang lebih teruk kepada kawasan serantau dan global," katanya.

Pada masa sama, Syed Mohamad Hasrin berkata, Malaysia menggesa semua negara yang mempunyai senjata nuklear untuk mematuhi Kenyataan Bersama mereka pada 3 Januari lalu yang mahu mengelakkan peperangan nuklear dan persaingan senjata.

"Dalam keadaan mendesak di kawasan berkenaan, Malaysia menggesa semua pihak untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di situ, terutamanya wanita, kanak-kanak dan golongan rentan lain dalam masyarakat.

"Ia perlu menjadi keutamaan segera. Dalam konteks ini, kami mengajak semua pihak untuk menghormati peruntukan berkaitan dalam undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 5:58 PM