Antara dadah yang dirampas. Foto Ihsan PDRM
Antara dadah yang dirampas. Foto Ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seramai 103 individu termasuk empat disenaraikan sebagai 'orang dikehendaki' dicekup menerusi Op Tapis Khas Siri 2 selama tiga hari bermula 23 Februari lalu.

Polis menggempur kawasan Felda dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negeri ini dengan objektif membanteras aktiviti pengedaran serta penagihan dadah di kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, suspek ditahan itu membabitkan 96 lelaki dan tujuh perempuan berusia 16 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut pelbagai seksyen seperti Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Daripada 90 orang, empat individu ditahan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (lima), Seksyen 12 (3) (53), Seksyen 6 (dua), Seksyen 30 Akta Racun 1952 (tiga) dan Seksyen 15 (1) (a) (26).

"Selain itu, enam individu diambil tindakan mengikut Seksyen 3 (1) ADB (LLPK) 1985 dan empat ditangkap kerana 'orang dikehendaki'.

"Bagi tempoh sama polis merampas heroin sebanyak 63.99 gram (g), syabu (46.71g), ganja (0.31g), cecair ketum (2.4 liter) dan daun ketum 800g.

"Tindakan mengikut ADB (Perlucuthakan Harta) 1988 turut diambil terhadap pengedar dadah membabitkan nilai sitaan RM22,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkiflee berkata, operasi itu dilakukan pihaknya bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Menurutnya, polis akan terus menggempur kawasan Felda dan PPRT di seluruh negeri bagi membanteras kegiatan penagihan dan pengedaran dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 6:59 PM